Kuasailah Diri Sendiri

Manusia dijadikan oleh Allah swt untuk menjadi khalifah di alam ini. Manusialah yang akan mentadbir alam ini, sekiranya baik sistem pentadbiran yang diamalkan akan baiklah alam ini, begitu juga sekiranya manusia gagal mentadbir akan hancur binasalah alam ini.

Namun begitu para malaikat telah berpendapat (sewaktu diberitahu bahawa Allah akan mencipta manusia) bahawa manusia akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di alam ini. Memang benar pendapat tersebut dan kita banyak mendengar berita tentang pertumpahan darah sesama manusia yang diceritakan dalam sejarah semenjak zaman Nabi Adam alaihissalam lagi.

Manusia sering menghadapi pertarungan dalam dirinya sehinggalah beliau menang atau kalah, atau terus menghadapi pertarungan itu. Malah pertarungan ini adalah pertarungan yang sengit dan berterusan hinggalah manusia menemui ajal. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

Begitulah keadaan manusia setiap masa, apakah mereka mampu menguasai diri? Sekiranya tidak mampu bagaimana mereka boleh ditakrifkan sebagai khalifah? Apakah mereka mampu mentadbir alam ini?

Menurut Syeikh Fathi Yakan, dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:

a- golongan pertama adalah golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Golongan ini tunduk kepada dunia dan kekal dalam keduniaan. Inilah golongan orang-orang kafir dan orang-orang yang menuruti cara mereka.

Allah swt telah menyifatkan golongan ini dalam firman-Nya (45:23):
'Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat), maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran."

b- golongan kedua ialah golongan yang berjihad melawan dirinya, bertarung memerangi hawa nafsu. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat, apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

Allah swt menggambarkan golongan ini dalam firman-Nya (3:135):
" Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui."

c- golongan ketiga ialah golongan yang amat sukar bagi syaitan menawan mereka. Golongan ini digambarkan oleh iblis dengan gambaran berikut "kami berjaya menemui salah seorang dari mereka hinggalah kami berjaya mencapai apa yang kami kehendaki, tetapi kemudian beliau segera beristigfar, dengan istigfar itu beliau telah merosakkan apa yang kami dapati darinya. Kami tidak pernah berputus asa dari menggodanya dan kami tidak akan mendapat kehendak kami daripadanya."

Jadi dimanakah kedudukan kita sekarang? Apakah kita tergolong ke dalam golongan pertama, kedua atau ketiga? Muhasabah diri setiap masa, serta cubalah menguasai diri kerana tiada siapa yang dapat membantu sekiranya kita gagal menguasai diri sendiri. Ketidakmampuan kita menguasai diri akan menyusahkan hidup kita kemudian hari.

Bagaimanakah kita dapat menguasai diri?
Cara untuk menguasai diri adalah dengan menjaga hati dan aqal kita. Ini kerana hati akan menjadi sendi kekuatan kita jika hati itu hidup, lembut, bersih dan cekal.

Hati orang-orang mukmin yang digambarkan dalam Al-Quran adalah "Orang-orang yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka kepada-Nya".

Manakala aqal juga akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya aqal itu dapat melihat sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang akan dapat digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah serta dapat mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah.

Aqal mukmin yang sedar dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, maaruf dan munkar, kerana mukmin yang sedar itu melihat perkara ini dengan cahaya dari Allah, yang dapat melihat sesuatu di sebalik tutupan yang halus. Sebagaimana firman Allah (24:40) yang bermaksud "Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tiadalah ia mempunyai cahaya walau sedikitpun."

Ini dijelaskan lagi oleh Rasulullah saw dalam sabda baginda "Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama."

Sesungguhnya cahaya aqal tidak dapat dipadamkan oleh sesuatu kecuali maksiat serta kekal didalam maksiat. Mereka terang-terangan melakukan maksiat dan tidak bertaubat setelah melakukan maksiat sebagaimana sabda Rasulullah saw "Sesiapa yang melakukan dosa aqal akan berpisah daripadanya, dan tidak akan kembali kepadanya buat selama-lamanya."

Jadi cara terbaik untuk menguasai diri ialah dengna memastikan hati dan aqal kita bersih daripada dosa dan maksiat. Apabila kita mampu menguasai diri sendiri, bermakna kita telah memenuhi syarat untuk menjadi khalifah untuk diri, keluarga dan masyarakat.

Ulasan

~PakKaramu~ berkata…
Menziarahi isteri yang soleha

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman