Makanan Rohani

Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita masih berselera untuk makan. Kita masih mampu makan beberapa kali setiap hari. Bermacam-macam jenis makanan kita masukkan ke dalam perut kita setiap hari. Malah ramai yang selalu menghitung 'nak makan apa hari ini?', 'kat mana kita nak makan hari ini?' serta pelbagai lagi ungkapan berkaitan dengan makanan.

Bagi para surirumah pula, memasak makanan merupakan tugas harian. 'Nak masak apa hari ini?' itulah ungkapan yang sentiasa diulang setiap hari. "Susahkah nak masak Umi?" Itulah soalan anak-anak saya bila saya bertanya mereka apa yang mereka ingin makan. Bukan susah nak masak, cuma kadang-kadang bosan memasak makanan yang sama. Bagi saya cara terbaik untuk surirumah lakukan ialah mengadakan menu harian, jadi ia dapat mengurangkan persoalan 'nak masak apa hari ini?'.

Inilah makanan yang akan masuk ke mulut dan turun ke perut kita. Jarang kita dengar orang melupakannya. Ada pula yang terlebih makan, malah jika kita mengikuti kursus-kursus tertentu, kita akan disajikan dengan pelbagai makanan daripada sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan minum malam. Memang terlebih-lebih makan hinggakan perut kita tidak sempat berehat. Itulah realitinya. Kita isi dan isikan perut kita setiap hari tanpa berfikir apakah ia perlu berehat.

Kita selalu memikirkan tentang makanan jasmani kita, akan tetapi kita jarang memikirkan tentang makanan rohani kita, malah ramai yang terlupa akan kepentingan makanan ini untuk kelangsungan hidup kita. Sebenarnya makanan inilah yang lebih penting daripada makanan yang kita masukkan ke perut kita. Ini kerana makanan rohani akan mampu memberi kekuatan tanpa sempadan kepada kita.

Alhamdulillah sebagai seorang Islam, kita dibekalkan dengan pelbagai amalan untuk makanan rohani kita. Bila bangun pagi kita diajar agar terus berwuduk serta menunaikan solat Subuh, kemudian kita isikan dengan sedikit zikir sebagai makanan roh kita. Namun begitu kita masih memerlukan tazkirah dan peringatan setiap masa agar hidup kita sentiasa berada di jalan yang benar.

Bayangkan orang yang tidak mengamalkan ajaran agama, adakah mereka memberi makan kepada rohani mereka? Apakah jenis makanan rohani mereka? Apakah makanan tersebut betul-betul mampu menghidupkan rohani mereka yang kelaparan? Itulah persoalan yang sentiasa bermain-main di fikiran saya.

Begitu juga pemakanan anak-anak, kita mampu memberi makanan kepada tubuh badan mereka, akan tetapi apakah cara terbaik untuk kita memberi makan roh mereka? Apakah permasalahan sosial yang berlaku hari ini berpunca daripada kegagalan kita memberi makan kepada rohani anak-anak kita. Jika begitu, apakah bentuk makanan rohani terbaik untuk anak-anak kita? Sama-samalah kita fikirkan...

Sebenarnya jika rohani kita elok, akan eloklah kehidupan kita. Ini kerana semuanya berpunca dari situ, malah penularan penyakitpun akan dapat dielakkan jika rohani kita elok. Oleh itu berikanlah hak rohani kita dengan memberi makanan yang elok kepadanya. Hadirilah kuliah-kuliah agama, seminar-seminar untuk peningkatan diri serta hidupkanlah diri dengan amalan-amalan harian untuk membantu menguatkan rohani kita. Jangan biarkan Rohani kita lapar...

Buat surirumah, pastikan rohani anda sentiasa kenyang, kerana ia mampu memberi kekuatan dalaman dan luaran kepada anda dalam meniti kehidupan ini.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman