Kuliah Agama di Kota Bharu

Alhamdulillah minggu ini saya berkesempatan menghadiri kuliah agama di Pusat Bandar Kota Bharu, juga berkesempatan melihat aktiviti-aktiviti tidak rasmi wanita Kelantan.

Sememangnya aktiviti kuliah mingguan ini menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat Kelantan setiap minggu. Inilah peluang mereka untuk mendengar amanat daripada Menteri Besar setiap minggu. Amanat Tok Guru kepada rakyat dalam bentuk kuliah agama.

Sememangnya satu isu yang sentiasa diulang-ulang ialah tanggungjawab suami. Ini kerana wanita Kelantan sangat aktif, jadi para lelaki kurang mengambilberat tentang tanggungjawab mereka. Kali ini pula Tuan Guru menyentuh tentang sifat orang lelaki yang suka berbual di kedai kopi, kadang-kadang isu yang dibualkan ialah tentang kelemahan wanita. Jadi beliau mengingatkan pendengar dengan kata-kata "orang lelaki yang suka bercakap tentang orang perempuan ni sebenarnya dia mati pucuk...dia tak mampu sebenarnya, jadi untuk menutup ketidakmampuannya dia akan bercakap besar serta memburuk-burukkan perempuan". Tergelak sakan pendengar kuliah kali ini.

Alhamdulillah banyak tazkirah yang diperolehi kali ini walaupun dalam masa kurang daripada satu jam. Seronok juga mendengar kuliah sebegini sekali sekala.

Di antara isi kuliah kali ini ialah:
1. Allah amat menyayangi manusia dengan menyediakan dua malaikat mengiringi kita setiap waktu. Tidak ada kerajaan lain didunia ini yang mampu menyediakan khidmat sebegini. Itulah kebesaran Allah swt yang tiada bandingannya.

2. Setiap aktiviti manusia akan diperhatikan, oleh itu kita hendaklah menggunakan masa kita sebaik-baiknya, lakukanlah semuanya kerana Allah swt.

3. Bagaimana Allah membuka pintu manusia? Allah akan membuka pintu hati manusia untuk membuat kebaikan, sekiranya kita ikuti Allah akan terus membukanya. Akan tetapi sekiranya kita tidak melakukannya, samaada menangguhkannya atau menolaknya, maka Allah akan menutup balik hati tersebut ke suatu masa nanti, yang tidak akan kita ketahui bila akan terbuka semula. Oleh itu lakukanlah apa-apa kebaikan apabila terdetik dihati, jangan bertangguh-tangguh.

4. Nilai manusia bukan dari segi fizikalnya, akan tetapi dilihat dari dalam. Oleh itu kita tidak boleh melihat zahir manusia serta terus menghukum mereka tanpa mengetahui batinnya. Serta jangan memperlekehkan orang lain dengan melihat zahirnya.

5. Jangan mencemuh diri sendiri, iaitu dengan jalan memperlekehkan orang lain. Ini kerana apabila kita memperlekehkan orang lain kita sebenarnya mencemuh diri sendiri. Yang nyata manusia tidak boleh hidup sendiri kerana kita dijadikan untuk hidup bermasyarakat.

6. Setiap orang ada kemahiran yang tidak ada pada orang lain. Sebab itulah kita mesti menghormati orang lain. Janganlah kita berasa hebat dengan kelebihan kita serta memijak orang lain. Bersangka baiklah kepada setiap orang.

7. Cara untuk memperbetulkan orang lain ialah dengan hikmah, peringatan yang baik dan bermujadalah dengan cara yang baik. Elakkan dari bercakap dibelakang kerana ia tidak akan membantu kita menyelesaikan masalah kita.

Satu pengalaman lain ialah melihat ketabahan dan kerajinan wanita Kelantan. Ramai yang mengambil peluang membawa barangan jualan untuk berniaga disamping mendengar kuliah. Jadi terdapat pelbagai jualan termasuk sayur-sayuran kampung yang pelbagai jenis, banyak juga buah-buahan dan sayuran yang dah lama saya tak lihat seperti buah setia, stol dan lain-lain. Masing-masing membawa hasil sedikit seorang, sekurang-kurangnya dapat buat belanja tambang hari tu.

Jadi kuliah mingguan ini menjadi tempat pertemuan wanita-wanita gigih yang pandai menggunakan peluang, bak kata pepatah "sambil menyelam sambil minum air". Hebatnya wanita-wanita ini...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas