Masa Kecil Hanya Sekali

Alhamdulillah....bersyukur kerana sempat menjadi kanak-kanak yang bebas bermain, bebas berfikir tanpa dikongkong oleh pemikiran orang dewasa.
 
Sewaktu kecil, saya suka melihat pemandangan dari atas pokok yang tinggi, perasaan yang paling seronok dapat dirasa apabila pokok tersebut lebih tinggi daripada atap rumah sendiri dan rumah jiran.
 
Ketika itu terasa betapa hebatnya aku kerana dapat melihat bumbung rumah yang coklat dan kelabu, sambil berayun-ayun dipuncak pokok manggis yang tinggi dihalaman rumah.
 
Sekarang pokok tersebut sudah tiada, ia telah ditebang kerana sudah terlalu tua, serta tidak memberi hasil. Namun begitu kenangannya masih subur dalam ingatan saya. Beberapa tahun lepas, saya masih mampu mengecap kemanisan buahnya, walaupun orang lain tidak mampu melihat buah-buahnya yang terselindung disebalik daun. Alhamdulillah.
 
Dalam banyak-banyak pokok, saya hanya berani berayun pada pokok manggis, rambutan dan jambu batu, kerana saya yakin dahan dan rantingnya kuat serta tidak mudah patah. Manakala ranting pokok rambai amat lembut serta menggerunkan, ia menuntut saya agar berhati-hati sepanjang masa.
 
Manisnya pengalaman sewaktu kecil, ia tidak mungkin berulang semula kerana masa kecil kita hanya sekali, usia akan terus bertambah, dan bertambah hinggalah kita kembali menemui-Nya.
 
Sebagai kanak-kanak ketika itu, tiada sesiapa yang mengajar saya bagaimana untuk memilih tempat bergantung dan berayun, tetapi pengalaman bermain mengajar saya untuk memilih pokok-pokok yang betul-betul sesuai untuk bermain.
 
Ketika rakan-rakan sibuk berayun diatas buaian  yang dibuat sendiri, saya memilih untuk berayun dipuncak pokok sambil melihat mereka, kerana bagi saya ia lebih seronok serta mencabar.
 
Ketika orang lain sibuk memungut buah dibawah ketika musim buah, saya menjadi orang yang mengutipnya dari atas pokok sambil menurunkannya kepada orang lain untuk dinikmati atau dijual.
 
Seronoknya berpindah dari satu pokok ke pokok lain, ada kalanya hanya berpindah melalui dahan yang menghubungkan antara pokok-pokok tersebut.
 
Namun begitu, hari ini saya begitu takut untuk memanjat lagi, setelah lebih kurang 30 tahun meninggalkan zaman tersebut. Pelbagai perasaan takut timbul, sedangkan sewaktu kecil saya amat berani menempuh cabaran.
 
Terfikir-fikir juga mengapa perasaan ini timbul? Apakah saya takut jatuh, takut merasai kesakitan jika jatuh ataupun ia hanyalah persepsi yang saya cipta sendiri dalam fikiran ini?
 
Sebenarnya ia hanyalah memori kecil dalam begitu banyak pengalaman sewaktu kecil dulu, termasuklah kenangan bermain air taliair, mencari etok, masuk belukar mencari buah rotan, bekerja disawah padi, berkebun serta pelbagai lagi kerja-kerja kampung yang dilakukan bersama-sama keluarga.
 
Subhanallah, betapa manisnya kenangan itu, bila diimbas ketika ini...Alhamdulillah 'ala kulli hal.
 
Syukur juga kerana ibubapa memberi sepenuh kebebasan untuk meneroka kampung, berkunjung ke rumah jiran dan sahabat, serta bebas memilih untuk mengunjung nenek yang tinggal beberapa kilometer dari rumah sendiri.
 
Itulah kenangan pahit dan manis zaman kanak-kanak, hidup berperang dengan lintah dan pacat adalah biasa.
 
Ketika ini, pengalaman tersebut menjadi cerita gembira untuk diceritakan kepada anak-anak, bila berpeluang. Mereka tidak perlu mengulang pengalaman saya, kerana kehidupan mereka amat berbeza. 
 
Saya kasihan melihat anak-anak yang tidak berpeluang untuk menikmati pengalaman seperti saya, tetapi mereka amat bertuah, lebih bertuah daripada saya.  
 
Saya hanya berjaya meneroka kampung, tetapi anak-anak saya belajar meneroka beberapa buah negara, belajar melihat perbezaan adat dan budaya, serta melihat dunia ini dalam perspektif yang lebih luas, ternyata cabarannya akan menjadi lebih besar.
 
Berdasarkan pengalaman hidup sendiri saya dan suami cuba mengolah kehidupan anak-anak agar ia juga akan menjadi kenangan manis masa kecil buat mereka. Biarlah zaman kecil yang hanya sekali ini diisi dengan pelbagai ilmu sampingan, yang dilakukan dengan penuh kesungguhan.
 
Orang lain belajar sekolah, mereka juga ke sekolah, orang lain sibuk dengan pelbagai gadjet terbaru, mereka pula belajar mendekatkan diri dengan alam sekitar, belajar menghormati dan mengasihi alam sekitar.
 
Sesungguhnya saya tidak mampu melakukannya seorang diri, alhamdulillah Allah mengurniakan suami yang begitu faham tentang keperluan anak-anak sewaktu membesar.
 
Moga Allah mengukuhkan serta memanjangkan lagi ikatan ini, agar kami dapat sama-sama membesarkan anak-anak mengikut acuan kami. Moga mereka mampu menjadi salah seorang 'khalifah Allah' untuk mentadbir alam ini suatu ketika nanti.
 
Masa kecil anak-anak hanya sekali, isikanlah masa tersebut dengan pelbagai ilmu untuk menjadi panduan mereka ketika besar nanti. Dunia ini perlukan insan yang memiliki pelbagai kebolehan, jika semua kanak-kanak dididik dengan hanya satu method, apakah yang akan berlaku 50 tahun akan datang?
 
Jadi berikanlah peluang kepada anak-anak kita untuk menpamerkan segala kelebihan dan kebolehan mereka sewaktu kecil, kerana ia akan menjadi begitu berguna buat mereka nanti.
 
Moga mereka juga mampu menyimpan memori yang indah sewaktu kecil...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam Ustazah...teruskan berkongsi cerita dgn kami...buat sempadan dan ttauladan.

Bie.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat