Tak Sabar Menunggu

Alhamdulillah, kita sudah memasuki hari ke 23 pada tahun baru ini, moga hari-hari yang dilalui penuh kenangan dan pengajaran buat kita sekeluarga.
 
Anak-anak masih dalam cuti sekolah tanpa apa-apa perancangan program khas untuk mereka. Setiap hari mereka habiskan dengan bermain bola tampar dalam rumah iaitu aktiviti baru mereka, kemudian menghadap TV saluran kesukaan mereka iaitu Al-Jazeera Children.
 
Seperti biasa, menonton TV penuh dengan ulasan dan pengajaran, sama ada daripada kami, ataupun sesama mereka.
 
Alhamdulillah beberapa hari lepas ayah mereka bersetuju untuk kami menyertai rombongan rakan-rakan seMalaysia yang akan berkhemah di padang pasir Wahiba Sand di Wilayah Sharqiyyah. Semenjak hari itu anak-anak begitu bersemangat serta membilang hari untuk menyertainya.
 
In Shaa Allah inilah kami pertama kami akan sampai ke kawasan padang pasir yang amat luas, ia menyebabkan kami begitu teruja, dan ternanti-nantikannya.
 
Namun pengalaman yang dinanti tidak akan dapat mengatasi pengalaman suami yang pernah menyeberangi Padang Pasir Sahara dari Libya ke Sudan yang penuh suka-duka. Moga ia akan mengingatkan diri ini betapa sukarnya kehidupan yang pernah ditempuhi oleh si dia sebelum ini.
 
Bertahun-tahun di Oman, kami hanya bertamu ke pantai-pantainya yang begitu unik dan menarik. In Shaa Allah kali ini kami akan dapat menikmati keindahan padang pasirnya pula.
 
Moga perancangan ini dipermudahkan, perjalanan kami dipermudahkan oleh Allah swt, serta beroleh keberkatan. Moga anak-anak mendapat pengalaman yang berguna untuk kehidupan mereka nanti.
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat