Cerita Libya
Seluruh dunia sedang membicarakan tentang Libya, cerita kezaliman pemerintah disana yang masih mahu mengekalkan kuasa, walaupun ternyata rakyat sudah menolak beliau.
Bila menonton TV Libya (Al-Jumhuriyah), kita dihidangkan dengan seribu ketenangan seolah-olah Libya sekarang tidak terlibat dalam apa-apa masalah. Mereka sedaya-upaya cuba menutup kezaliman mereka dengan menyebarkan berita bahawa apa yang berlaku disebabkan oleh beberapa individu yang terbabit dengan kumpulan Al-Qaedah.
Kemudian laporan penunjuk perasaan penyokong Muammar Ghadafi yang begitu ramai, malah mereka digalakkan untuk menyebarkan berita tersebut di internet. Ini adalah untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa penduduk Libya menyokong pemimpin mereka, serta semua saluran TV lain adalah pembohong besar.
Begitu juga rakyat ditabur dengan duit dan janji-janji manis agar menyokong pemerintah sekarang. Pelbagai janji termasuklah menyediakan rumah, memberi bantuan kewangan percuma selama dua bulan bagi setiap keluarga disana, memberi bantuan pendidikan bagi rakyat Libya yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, serta pelbagai janji lain.
Akan tetapi apabila menukar saluran lain, sama ada saluran Arab, Perancis, BBC, MBC semuanya menceritakan tentang kezaliman yang berlaku disana, yang mana ia disebutkan sebagai "hammam al-damm" iaitu 'bilik mandi darah'.
Malah program temuramah dengan bekas Ketua Menteri Libya, Mustafa Halim, serta beberapa pemimpin pembangkang Libya yang berada diluar Libya menegaskan tentang kezaliman yang berleluasa di Libya sekarang.
Bekas Ketua Menteri Libya tersebut dengan jelas mengulang-ulang perkataan 'majnun' iaitu gila kepada Muammar Ghadafi. Ini kerana sikap, percakapan dan tindakannya amat jelas menunjukkan kecelaruan mental yang dihadapi Muammar sekarang.
Dalam satu program lain seorang pakar psikiatri juga memberikan tafsiran yang sama terhadap Muammar Ghadafi sekarang. Apakah betul tanggapan mereka? Jika betul, mengapa masih ramai yang menunjukkan solongan kepada beliau?
Walauapapun gelaran yang diberikan kepada Muammar Ghadafi sekarang, kita cuma mampu memanjatkan doa, agar Allah menyelamatkan umat Islam Libya daripada terus hidup dizalimi. Masih banyak cerita-cerita pejuang Libya yang akan terbongkar selepas kejatuhan pemimpin mereka nanti.
Cerita yang sama, seperti cerita pejuang Tunisia, pejuang Mesir, juga pejuang-pejuang kebebasan di negara Arab Afrika akan dibongkar. Cerita sedih, cerita kesukaran hidup sebagai pelarian dinegara asing serta pelbagai cerita lagi akan menambah koleksi contoh hidup pejuang Islam di mana-mana.
Jadi, ambillah pengajaran daripada cerita mereka, serta teguhkanlah pendirian kita...apa yang pasti kezaliman akan berakhir kerana doa insan yang dizalimi amat makbul disisi Allah swt.
Ulasan