Pejuang Islam Tunisia
Alhamdulillah seronok mengikuti cerita-cerita insan yang dinanti-nanti kepulangan mereka dari rantau. Apa taknya mereka terpaksa merantau bertahun-tahun, melarikan diri daripada pemerintah yang zalim.
Dalam perantauan mereka, pelbagai ujian yang terpaksa ditempuhi, namun mereka begitu kuat mempertahankan prinsip mereka. Itulah sejarah hidup ramai pejuang Islam dari Tunisia.
Saya teramat kagum dengan kekuatan semangat mereka, bertahun-tahun merantau melarikan diri , mengelakkan diri daripada dikesan pemerintah yang tidak puas-puas menimbulkan masalah walaupun mereka berada diluar negara. Mereka juga dihalang daripada berhubung atau bertemu ahli keluarga mereka.
Namun begitu tidak ramai insan yang memahami masalah mereka. Di Malaysia mereka dianggap bagai pengemis yang tidak berharga, walaupun mereka adalah pemikir-pemikir Islam yang dikitiraf pada peringkat antarabangsa.
Sesungguhnya ada Rahmat dihujung perjuangan, ada ketentuan yang tidak kita ketahui, tapi amat diketahui olah Yang Maha Berkuasa. Bila DIA menetapkan sesuatu, tiada apa yang dapat menghalangnya. Itulah takdir hidup pejuang-pejuang ini.
Ramai yang membina keluarga diluar negara, tanpa peluang memperkenalkan isteri dan anak-anak kepada keluarga tercinta. Mereka keluar sebagai pelarian ketika masih lagi muda dan kuat, hari ini pulangnya mereka ketika sudah berlanjut usia.
Diantara mereka adalah Syeikh Rashid Ghonushi (Presiden Parti Nahdha), yang terpaksa keluar dari Tunisia 21 tahun lalu kerana dibuang negara. Kepulangan beliau hari Ahad lepas disambut beribu-ribu penduduk Tunisia, serta dianggap hero, kerana beliau merupakan diantara insan pertama yang membantah kezaliman Presiden Tunisia lebih 20 tahun lalu.
Namun begitu rata-rata pelarian ini menyifatkan pemuda-pemuda Tunisia hari ini lebih berani menyuarakan pendapat sehingga berjaya menumbangkan keangkuhan presiden mereka. Apakah mereka sendiri tidak begitu kuat, sehingga melarikan diri ke luar negara?
Bagi saya ada ketentuan yang telah ditetapkan, yang mana ia boleh menjadi punca kemakmuran hidup penduduk Tunisia pada masa akan datang. Dalam pelarian mereka, tiada masa yang dibazirkan, setiap peluang untuk membangunkan diri dikutip oleh mereka. Hasilnya mereka merupakan pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang masing-masing, serta tergolong ke dalam golongan pemikir pada peringkat antarabangsa.
Bayangkan jika kesemua pemikir-pemikir hebat ini pulang menabur bakti dalam negara, tidak mustahil Tunisia akan mampu bangkit dalam masa yang singkat sebagai sebuah negara yang berjaya daripada segenap sudut.
Sebenarnya apa yang berlaku di Tunisia, merupakan satu nikmat yang amat berharga buat pejuang-pejuang ini. Perjalanan hidup mereka dimudahkan, mehnah dan ujian yang terlalu berat itu berakhir...itulah janji-janji Allah pada insan yang dizalimi, sesungguhnya DIA amat mengetahui apa-apa yang kita tidak ketahui. Subhanallah...
Namun begitu, betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang terpaksa memikulnya. Berat lagi ujian para ibu yang terpaksa berpisah dengan anak-anak mereka berpuluh-puluh tahun lamanya. Ada yang terpisah tanpa khabar berita selama bertahun-tahun.
Bagi saya para ibu ini begitu hebat, mereka tidak mudah berputus asa...akhirnya mereka ditemukan kembali...alhamdulillah.
Jika kita begitu risau bila terpaksa berpisah dengan anak-anak yang merantau mencari ilmu, ibu-ibu ini terpaksa berpisah tanpa rela, kezaliman pemerintah yang memisahkan mereka. Mereka rela melepaskan anak-anak lari daripada bertahun-tahun disiksa dipenjara tanpa dibicarakan.
Terlalu banyak pengajaran yang mampu kita kutip daripada apa yang berlaku di Tunisia. Moga Allah mengurniakan yang terbaik buat mereka.
p/s - alhamdulillah hati terasa begitu tenang bila mendengar suara insan yang sudah lebih 19 tahun terpisah daripada keluarga tercinta, menceritakan detik-detik pertemuan beliau dengan keluarga kembali. Ada satu suara baru, semangat baru yang tidak pernah wujud sebelum ini. Alhamdulillah 'ala kulli hal.
Ulasan