Kesan Revolusi

Apakah kesan revolusi yang berlaku disesebuah kawasan?
Apakah kehidupan disitu akan berubah ataupun tetap sama?

Bila bercerita tentang revolusi, maka ramai yang akan teringat cerita tentang "Revolusi Perancis", yang mana hasil revolusi tersebut berjaya mengubah alam ini.

Bila disebutkan revolusi, bermakna ia adalah titik perubahan. Insan yang berjaya melakukan revolusi akan berusaha untuk melakarkan kejayaan seterusnya. Begitulah juga harapan penduduk di Tunisia dan Mesir yang telah berjaya menumbangkan pemerintahan diktator dinegara mereka.

Bila melihat laporan TV Tunisia, terasa bahawa penduduk disana agak tergesa-gesa dalam tuntutan mereka, berbagai tuntutan dilakukan rentetan kejayaan mereka menjatuhkan Ben Ali.

Bak kata seorang kawan Tunisia, "apalah mereka ni...berilah peluang kepada penganggur untuk mendapatkan pekerjaan, ini yang dituntut ialah kenaikan gaji bagi yang sudah mempunyai pendapatan, sedangkan bilangan penganggur begitu ramai."

Begitu juga keadaan di Mesir, tuntutan demi tuntutan dilakukan menyebabkan keadaan disana tidak begitu stabil. Setiap hari kedengaran laporan tunjuk perasaan dilakukan menuntut perubahan. Manakala laporan semalam menyatakan askar terpaksa melepaskan tembakan bagi menyuraikan mereka, sehinggakan menyebabkan kes kematian berlaku.

Terfikir juga, apakah mereka menganggap perubahan boleh berlaku dalam masa sehari? Namun ternyata rakyat Tunisia begitu takut kehilangan hak mereka setelah lebih 23 tahun mendiamkan diri. Begitu juga rakyat Mesir yang amat berharap kejayaan revolusi kali ini terisi dengan perubahan yang memberikan keuntungan kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, begitu juga harapan rakyat di beberapa buah negara lain yang sedang menuntut hak mereka iaitu Bahrain, Yaman, Jordan, Iraq, Iran, Algeria termasuklah Oman.

Namun begitu perjuangan tersebut baru bermula, ia menuntut kesabaran serta jalan yang berliku. Jika tidak cermat, segala cita-cita murni akan hancur.

Sebagai contoh apa yang berlaku di Bahrain, akhirnya kemana arah mereka? Tunjuk perasaan biasa akhirnya membesar hingga menjadi episod perpecahan penduduk negara tersebut. Ini kerana pengikut Sunni menyatakan bahawa mereka menyokong kerajaan manakala pengikut Syiah adalah golongan pembangkang. Apakah yang akan berlaku seterusnya disana?

Apa yang jelas bagi pejuang revolusi ialah revolusi ini akan mengubah hidup mereka ke arah yang lebih baik, revolusi ini juga telah berjaya mengubah takrif Arab dimata dunia.

Kini orang Arab tidak lagi boleh dilebelkan sebagai tidak melakukan apa-apa, orang Arab sekarang sudah terbangun daripada tidur yang amat lena, mereka kini begitu bertenaga untuk memulakan perjuangan baru menuntut hak-hak mereka.

Apa yang kita tunggu ialah apakah hasilnya nanti...mampukan mereka mencorakkan perubahan alam ini ke arah yang lebih baik?

Bak kata beberapa orang pendokong revolusi ini: "kita tidak akan berpaling ke belakang lagi, kita akan berusaha agar revolusi yang dilakukan akan berhasil dengan episod-episod kejayaan".

Moga Allah mengurniakan kejayaan kepada mereka. Moga Umat Islam mampu menempuh alam baru yang lebih baik.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas