Serupa tapi tak sama...

Mehnah yang dihadapi penduduk Libya masih belum berakhir, akhir-akhir ini ia berubah menjadi seolah-olah perjuangan menuntut kemerdekaan. Ada kawasan yang dikawal oleh tentera Muammar Ghadafi, manakala sebahagian lagi dikuasai oleh pihak penentang kerajaan.

Moga Allah memudahkan urusan rakyat Libya yang ikhlas menuntut kebebasan, bebas menyuarakan apa-apa pendapat mereka, serta bebas melakukan aktiviti tanpa apa-apa sekatan.

Buat masa sekarang mereka amat memerlukan bantuan saudara seagama untuk meringankan sedikit bebanan mereka, terutama bantuan perubatan. Walaupun realitinya Muammar menghalang sebarang bentuk bantuan dibawa masuk ke sana, serta mengumumkan bahawa sesiapa yang membawa masuk bantuan luar akan dihukum, tetapi banyak juga bantuan yang berjaya dibawa masuk ke sana secara sulit.

Bayangkan rakyat yang tercedera memerlukan bantuan, tetapi sedikit sangat yang mendapat bantuan perubatan. Pasukan doktor luar yang bersedia memberi khidmat perubatan juga dihalang daripada memasuki Libya.

Buat masa sekarang lebih seratus ribu orang pelarian Libya, terdiri daripada rakyat Libya dan rakyat asing yang bertugas di Libya, berada disempadan Libya - Tunisia, manakala sebahagian lagi berada di sebelah Libya apabila pintu keluar melalui Tunisia ditutup, untuk mengelakkan sebarang bantuan luar sampai ke sana.

Kebanyakan mereka melarikan diri setelah tidak sanggup melihat kezaliman berleluasa. Jadi jelaslah kezaliman tersebut, walaupun ia tidak dilaporkan dalam TV Libya.

Tunjuk perasaan secara aman yang dilakukan penduduk Libya menuntut kebebasan setelah 42 tahun diperintah Muammar, bertukar menjadi perjuangan jihad. Corak permulaan yang sama seperti yang berlaku di Tunisia dan Mesir, tetapi jalan cerita mereka amat berbeza.

Kebanyakan penganalisis politik menggambarkan cerita yang sama, iaitu melihat hikmah mengapa revolusi yang berlaku di Tunisia, merebak ke Mesir dahulu sebelum Libya, sedangkan Libya terletak bersebelahan Tunisia. Itulah hikmah yang Allah swt takdirkan untuk penduduk Libya, iaitu membuka pintu keluar disebelah timur dan barat, agar ada bantuan kemanusiaan yang mampu sampai kepada mereka.

Ketika inilah kita dapat lihat betapa murninya persaudaraan Islam, kedua-dua negara jiran Libya iaitu Tunisia dan Mesir masih belum pulih daripada masalah mereka tetapi tetap sudi menghulurkan bantuan kepada saudara seagama disana.

Bayangkan jika negara-negara tersebut juga masih dibawah pemerintahan diktator seperti sebelum ini, tiada siapa yang akan mempedulikan nasib umat Islam Libya ini.

Itulah perancangan Yang Maha Kuasa, yang tidak mampu difahami oleh kita, Perancangan-Nya terlalu teratur...Subhanallah.

Jika kita menganggap ia adalah serupa, perjuangan menuntut kebebasan, bebas untuk hidup aman dialam ini, namun begitu jalan untuk mencapainya amat berbeza. Ia memerlukan kekuatan yang tiada bandingannya.

Moga umat Islam Libya berjaya mencapai apa yang mereka cita-citakan. Moga Allah memberikan kemenangan kepada mereka.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat