Penyelesaian Positif
Alhamdulillah sudah tujuh tahun lebih saya berada disini, pelbagai pengalaman dikumpul terutama berkaitan dengan pendidikan anak-anak di sekolah.
Setakat yang saya tahu, sistem pendidikan disini mengaplikasi sistem yang diadun khusus berdasarkan kombinasi sistem pendidikan Arab, iaitu pengalaman Mesir, Sudan dan Tunisia dan sistem pendidikan barat.
Selama tujuh tahun melibatkan diri melihat sendiri perkembangan positif anak-anak dalam pelajaran walaupun bermula daripada sifar bahasa Arab, kini berjaya menjadi salah seorang pelajar terbaik didalam kelas.
Apa yang penting ialah bagaimana cara guru-guru memupuk sifat ingin tahu serta perasaan seronok belajar didalam jiwa anak-anak kecil.
Kemudian diikuti sistem yang diamalkan di peringkat kementerian yang hanya memberi respon positif dalam perkembangan pelajar, yang mana guru-guru di peringkat asasi hanya disediakan dengan pilihan positif ketika ingin mengredkan pelajar.
Bagi saya, ia adalah satu cara untuk mendidik guru-guru memandang positif kepada pelajar mereka. Anak-anak kecil juga sentiasa dipuji serta dihargai, yang mana ia amat membantu sepanjang tempoh mereka membesar.
Bagi pelajar yang lemah, mereka selalunya menyediakan penyelesaian positif yang mana memerlukan ibubapa dan guru duduk bersama berbincang untuk mengatasi kelemahan pelajar tersebut. Satu demi satu cara pemulihan dicuba dengan dipantau oleh ibubapa dan guru pelajar terbabit.
Bagi ibubapa yang prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka, selalunya masalah tersebut akan dapat diselesaikan dengan cepat.
Apa yang penting ibubapa mestilah turut serta dalam mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak serta tidak berlepas tangan hanya kepada pihak sekolah.
Dalam masa yang sama, ibubapa juga mesti berusaha untuk mendidik anak-anak membentuk sifat-sifat mulia yang akan digunakan sepanjang hidup mereka nanti.
Moga kita sentiasa berusaha mendidik anak-anak membentuk sikap positif, bermula daripada kita sendiri sebagai ibubapa. Jika kita mampu mengamalkan sifat-sifat positif, in sya Allah anak-anak juga akan terikut untuk mengamalkannya.
Moga generasi mereka lebih baik daripada zaman kita, hasil didikan kita sebagai ibubapa prihatin.
Ulasan