Terlalu banyak Berhibur, Ibadah ke mana?

Alhamdulillah pagi ini sempat menulis lagi disini untuk berkongsi apa yang saya fikirkan pada saat ini.

Alhamdulillah semalam sehari suntuk aktiviti kami sekeluarga , bermula dengan aktiviti mingguan kami sekeluarga iaitu berenang, kemudian menghadiri jemputan rakan, seterusnya bersambung dengan aktiviti mingguan kedua, berkumpul dengan rakan-rakan Arab.

Memang Khamis merupakan hari kami keluar, menyedut udara bersih Muscat sambil berkongsi fikiran dengan rakan-rakan. Khamis juga merupakan hari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh anak-anak untuk berehat setelah seminggu belajar.

Kadang-kadang fikiran negatif melintas, terasa bahawa kami begitu banyak berehat, sedangkan orang lain sibuk berjuang. Namun itulah realiti kehidupan kami disini, banyak berehat serta kurang stress.

Berhibur cara kami disini ialah dengan keluar ke taman-taman dan pantai untuk mencari ketenangan daripada kebisingan flat kami yang terletak betul-betul ditengah kawasan perniagaan di Muscat.

Dalam masa yang sama, ia digunakan untuk merapatkan lagi hubungan ukhwah, bila beberapa keluarga berkumpul sambil berkongsi cerita.

Sememangnya manusia perlukan masa untuk mencari ketenangan, bila hati tenang, hubungan sesama manusia juga akan menjadi baik.

Bila cara mencari ketenangan dipilih dengan cara baik, in sya Allah hasilnya akan menjadi positif juga. Ia adalah sebahagian daripada cara kita mendidik anak-anak, iaitu dengan memberi contoh yang baik dalam hubungan sesama manusia.

Bila anak-anak bermain bersama rakan, mereka belajar bertolak ansur serta lebih kreatif memilih jenis permainan. Dalam masa yang sama mereka juga terdedah kepada asas betapa mudahnya Islam dalam beribadah.

Ini kerana kami sentiasa melakukan solat jamaah bersama-sama ditaman, secara tidak langsung anak-anak ditunjukkan cara untuk menentukan arah kiblat, serta ditonjolkan unsur mudahnya untuk beribadah, dengan sujud diatas rumput tanpa beralaskan apa-apa.

Mereka juga didedahkan dengan unsur-unsur mudah dalam beribadah, bilamana mereka terpaksa berhenti daripada permainan untuk berwuduk dan solat, kemudian boleh menyambung permainan setelah selesai menunaikan ibadah. Alhamdulillah 'ala kulli hal...

Apa yang penting dalam berhibur, anak-anak didedahkan dengan praktikal berkaitan ibadah dalam islam secara tidak langsung.

Apa yang perlu kita ingatkan ialah, apabila kita menganjurkan apa-apa program, pastikan ia bukanlah sekadar untuk berhibur dan bergembira tanpa mengambilberat soal ibadah.
 
Seboleh-bolehnya pastikan agenda ibadah tidak diletak ke tepi, agar anak-anak kita mendapat kesan positif daripada program yang mereka lalui bersama-sama.

Moga suatu hari nanti, kita dapat melihat umat Islam mengambilberat soal ibadah apabila menghadiri apa-apa hiburan yang tidak menyalahi hukum syarak.

Biarlah kita bergembira zahir dan batin. Jangan biarkan rohani kita merana, sedangkan pada zahirnya, kita begitu gembira. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat