Perlukah Merancang?

Alhamdulillah bila duduk bercerita dengan anak-anak, macam-macam cerita dan pengalaman dapat dikongsi bersama, dalam masa yang sama sempat berkongsi pengalaman hidup yang pernah dilalui.
 
Moga mereka dapat manfaatkan pengajarannya dalam kehidupan mereka nanti.
 
Anak sulung bertanya: "Umi, perlukah kita merancang sedangkan kita tidak tahu sama ada kita akan hidup atau tidak esok?"
 
Jawapan saya ialah dengan menyoal balik beliau agak berfikir, "jika kita tidak merancang dan orang lain merancang, apakah kita akan berjaya seperti mereka?"
 
Beliau menjawab: " tentulah tidak..."
 
Kemudian saya mula bercerita mengenai pelbagai contoh kejayaan perancangan termasuklah perancangan kerajaan Malaysia suatu ketika dulu...
 
Apa yang penting, jika kita merancang kita akan tahu halatuju kita, meskipun bukan semuanya mampu dipenuhi.
 
Paling kurang kita akan mampu menyiapkan separuh daripada perancangan tersebut, berbanding keadaan kita tanpa ada apa-apa perancangan. Akhirnya kita akan berasa lega dengan pencapaian tersebut. Itulah ubat bagi surirumah sepenuh masa.
 
Bayangkan jika aktiviti seharian kita hanyalah menyiapkan tugas rutin dirumah, memasak, mengemas dan menjaga anak, apakah yang akan jadi kenangan pada hari tua kita? Apakah pencapaian kita setelah penat belajar bertahun-tahun?
 
Jadi, peruntukkan sedikit masa untuk pembangunan diri sendiri, agak bila anak-anak sudah besar, kita mampu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
 
Berbalik kepada persoalan merancang atau tidak? Kita tidak akan rugi apa-apa jika meletakkan sedikit target dalam hidup kita, serta berusaha untuk mencapainya.
 
Jika kita soroti kisah Ummahatul Mukminin, kesemua mereka mempunyai kemahiran tersendiri yang ternyata begitu berguna buat mereka. Sebagai contoh Saidatina Khadijah mempunyai perniagaan yang dilakukan dari rumah, Saidatina Aisyah mempunyai ilmu yang banyak dalam periwayatan hadis, perubatan dan ilmu agama, begitu juga Ummahatul Mukminin lain.
 
Jadi sebagai surirumah sepenuh masa, ambillah contoh salah seorang daripada ummahatul mukminin tersebut serta berusaha untuk melakukan seperti mereka untuk pembangunan agama yang tercinta.
 
Rancanglah dari sekarang untuk kejayaan pada masa hadapan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat