Cerita Masa Kecil 2

Alhamdulillah saya ingin menulis lagi, berkongsi kenangan lama dengan sesiapa yang sudi membaca.

Hari ini saya menyiapkan tugasan kelas online yang saya sedang ikuti iaitu Kelas Advance Cermin Diri. Tugasannya ialah tulis apa yang anda ingat sebelum berumur 10 tahun.

Jadi alang-alang dah menulis tentang kisah hidup sebelum berumur sepuluh tahun, saya akan kongsikan juga kisah-kisah lain yang masih saya ingat.

Alhamdulillah saya memberanikan diri menulis tanpa menghukum, kenangan hidup saya akan saya abadikan disini.

Sebagaimana yang saya sebut sebelum ini, kehidupan masa kecil saya amat bebas, tetapi jika melakukan kesilapan saya tetap dihukum oleh ayah. Oleh itu saya tetap berhati-hati dan memberitahu kemana saya pergi.

Kisah saya sebelum umur 10 tahun adalah kisah keberanian, kebebasan serta bebas memilih dan membuat keputusan sendiri.

Ketika itu hidup saya amat indah, pernah mewakili sekolah dalam pertandingan koir peringkatan jajahan Kota Bharu. Saya juga amat aktif bersukan, antaranya lumba lari, bermain bola jaring dan lompat jauh.

Boleh dikatakan saya sentiasa dipilih oleh cikgu untuk mewakili sekolah dalam pertandingan sukan dan kuiz antara sekolah.

Ya, ketika itu saya amat yakin dan berani dalam apa saja yang saya buat. Tetapi kini kemana hilangnya keberanian itu?

Manakala dirumah pula saya membawa karektor anak lelaki, kerana ketika itu saya yang paling berani dalam adik-beradik perempuan. Saya, seorang kakak dan seorang adik perempuan membesar bersama-sama, sebelum kehadiran lima orang adik beradik lain yang kami anggap generasi kedua dalam keluarga. Ini kerana jarak umur yang agak jauh dengan mereka.

Saya masih ingat tugas saya adalah melakukan perkara-perkara susah seperti pekerjaan lelaki iaitu memanjat pokok, orang pertama yang naik ke rumah ketika gelap malam serta pelbagai cabaran lain.

Alhamdulillah kehidupan kami sekeluarga ketika itu agak senang, walaupun saya sentiasa menganggap kami hidup susah. Ini kerana kami mampu keluar berjalan ke tempat peranginan seperti Bukit Keluang, Jeram Pasu dan ke pantai- pantai ketika hujung minggu.

Ayah juga mampu membawa kami ke bandar melihat program kereta berhias, pintu gerbang yang pelbagai corak ketika sambutan hari keputeraan Sultan. Ini kerana beliau bekerja sebagai pemandu, jadi kami ada kenderaan untuk bergerak ke mana-mana.

Apabila keluar pada waktu malam, ayah akan menyuruh saya mengunci pintu rumah dari dalam serta berjalan dalam kegelapan sebelum turun melalui lubang rahsia dan menguncinya. Begitu juga ketika pulang, saya terpaksa masuk melalui lubang tersebut, dan membukakan pintu kepada orang lain. Begitulah tugasan saya setiap kali kami keluar kemana-mana pada waktu malam.

Ketika itu tidak pernah terlintas rasa takut, malah saya terasa bahawa sayalah hero. Sayalah yang memanjat serta mencari jalan untuk masuk ke dalam rumah, jika pintu terkunci dari dalam. Semua nya menjadi kenangan masa kecil yang indah buat saya.

Namun sifat itu makin bertukar seiring dengan zaman. Ya, keberanian itu makin hilang dan sifat ingin mencuba juga hilang. Semoga Allah mengembalikan keberanian itu agar saya mampu menguasai kemahiran berenang, satu-satunya aktiviti yang saya masih gagal menguasainya setelah lebih 10 tahun mencuba.

Saya yakin bahawa saya akan mampu menguasainya bila sifat berani saya kembali semula.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman