Cerita Tarikh Lahir

Alhamdulillah hari ini umur semakin bertambah, semakin mendekat ke separuh abad.

Teringat suasana Oman ketika kali pertama menjejaki kaki ke sini 13 tahun dulu, sepanjang jalan utama dihias indah dengan lampu berhias. Hati tertanya-tanya kenapa ia dihias begitu cantik.

Rupa-rupanya bulan November ialah bulan sambutan hari Kebangsaan Oman, Eid Watani iaitu setiap 18 November. Selepas itu dapat maklumat bahawa Sultan Qaboos mula dilantik pada tahun 1970, sama tahun kelahiran saya.

Itu kisah Oman yang lengkap tercatat tarikhnya. Kisah bagaimana Sultan Qaboos mengambilalih kuasa daripada ayahanda baginda amat menarik untuk dibaca.

Kisah saya pula berbeza. Semenjak kecil ibu menceritakan bahawa tarikh yang tertulis pada surat beranak tu salah, saya dilahirkan akhir bulan November bukan pertengahan. Ini kerana ketika itu saudara ayah yang bekerja sebagai polis mendaftarkan kelahiran saya.

Beberapa maklumat kelahiran saya yang didaftarkan silap. Dalilnya surat beranak asal saya penuh dengan cop balai polis atas pembetulan kesilapan yang ditulis. Sememangnya saya amat malu melihat surat beranak sendiri, jika boleh dihapuskan pun saya tak kisah.Akan tetapi ia tetap saya simpan sehingga hari ini walaupun sudah mendapat salinan yang baru dan cantik.

Kisah yang diceritakan bonda menjadikan saya tidak berminat untuk mengingati tarikh lahir sendiri, apatah lagi menyambutnya. Biarlah apapun tarikhnya, aku bersyukur masih hidup dialam ini.

Akan tetapi perasaan ingin mengetahui tarikh sebenar tidak pernah hilang daripada fikiran ini. Ibu menambah lagi maklumat bahawa saya dilahirkan awal pagi Jumaat, pada bulan Ramadan, dalam keadaan musim tengkujuh.

Jadi apabila memasuki universiti saya cuba mencari cara-cara untuk menukarkan tarikh hijri kepada masihi. Terasa kelakar pula bila diingatkan semula. Akan tetapi saya masih gagal meyakinkan diri tentang tarikh tersebut sehinggalah datang era internet.

Alhamdulillah saya cuba mencari tarikh hijri kelahiran saya bermula dengan mencari hari Jumaat ketiga bulan Ramadan dan apakah tarikh masihinya. Alhamdulillah saya bertemu dengan tarikh "black friday" dan sejarah yang berlaku pada hari itu.

Bagi saya tarikh yang tercatat didalam surat beranak saya adalah sesuai dengan gambaran yang diberikan oleh bonda. Ini kerana hanya 13 November bertepatan dengan minggu kedua Ramadan pada tahun itu.

Namun begitu agak sukar untuk meyakinkan bonda yang menganggap tarikh 21 November adalah tarikh kelahiran saya, sedangkan itu tarikh kelahiran saya didaftarkan.

Apa-apa aje lah. Bagi saya tarikh tidak memberi apa makna jika kita tidak berusaha menjadi khalifah diri yang terbaik.

Semoga Allah memudahkan saya untuk bertemu potensi diri yang terbaik serta menerimanya dengan redha. Ini kerana kekeliruan itu berpanjangan sehingga membawa kepada kekeliruan dalam perkara lain juga.

Didalam lapan orang anak beliau, saya seorang sahaja yang masih keliru tentang tarikh lahir sendiri walaupun saya cuba menerima fakta yang ditemui. Ini kerana saya percaya bonda saya benar dan tarikh yang diyakini beliau adalah benar.

Tarikh itu bersamaan dengan tarikh lahir anak perempuan saya. Manakala jika saya menerima tarikh 13 November, tarikh hijrahnya bersamaan dengan tarikh lahir anak kedua saya dalam bulan hijrah.

Begitulah cerita tarikh lahir saya...Adakah insan lain yang memiliki kisah seperti saya?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman