Satu Persinggahan

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih diberi peluang bernafas dan menikmati keindahan alam ini.

Sesungguhnya dunia ini satu persinggahan, sebelum sampai ke tempat abadi kita. Jadi syukurilah segala nikmat dihadapan mata, kerana itu rezeki yang telah dikurniakan kepadamu.

Bila bercerita tentang persinggahan, bagi seorang penggembara yang berada jauh dari tanahair, ia seolah-olah transit ketika berehat sebentar sebelum menyambung penerbangan ke destinasi yang dipilih.

Bagi saya, kita yang memilih penerbangan kita, berapa lama transit yang kita pilih bergantung kepada peluang yang ada ketika kita memilih tiket.

Ada ketika kita bertemu pilihan yang mudah, transit sekadar keperluan, ada ketika kita mendapat tempoh transit yang singkat, yang mana kita terpaksa bergegas mencari pintu berlepas seterusnya. Ada kala kita tersilap pilih tiket yang menyebabkan kita terpaksa menunggu lama untuk menaiki penerbangan seterusnya.

Itulah gambaran persinggahan jika kita menggembara menggunakan kapalterbang. Sekiranya kita menggembara menaiki kenderaan darat, persinggahannya juga berbeza, apa lagi jika perjalanan melalui jalan air.

Begitu juga persinggahan berbeza bila kita menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam. Bila kita menggembara menggunakan kenderaan sendiri, kita lebih bebas mengatur masa dan memilih tempat persinggahan. Manakala bila kita menggunakan kenderaan awam kita akan terikat dengan jadual mereka. Kita terpaksa mengikut peraturan, adakala kita terkejar-kejar agar tidak ketinggalan dibelakang.

Walau apapun alat pengangkutan yang kita gunakan, jika kita menggembara ke suatu tempat yang jauh, kita perlu singgah sebentar untuk berehat, agar perjalanan itu lebih indah dan bermakna.

Apa aktiviti yang kita lakukan ketika singgah di tempat persinggahan? Ada orang berhenti untuk menghilangkan letih dan mengantuk, ada orang berhenti untuk memenuhi panggilan ilahi, iaitu menunaikan solat, ada yang mencari makan kerana kelaparan. Ada pula sekadar berhenti untuk mencari tandas dan menunaikan hajat. Yang mana satu pilihan kita setiap kali singgah disesuatu tempat?

Saya masih ingat kenangan ketika mengikuti program lawatan semasa belajar di UIA. Ketika itu, kami dalam perjalanan pulang dari lawatan ke Melaka, bas yang kami naiki mengalami kerosakan enjin, jadi semua pelajar terpaksa turun dan menunggu bas dibaiki dibahu jalan.

Alhamdulillah ada sebuah surau kecil disitu, jadi dapatlah kami berehat serta menunaikan solat disitu. Kenangan itu adalah contoh satu persinggahan yang tidak dirancang, tetapi didalamnya tersimpan rahsia Allah buat kami.

Walauapapun bentuk persinggahan kita, sentiasalah bersyukur kerana ia mendidik diri kita untuk sabar dan redha dengan ujian dari Allah swt. Semoga Allah mengurniakan segala Rahmah-Nya buat kita didunia dan akhirat. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas