Akhlak yang Mulia

Alhamdulillah pagi ini saya ingin berkongsi cerita tentang persoalan orang-orang bukan Islam tentang agama ini. Beberapa kali juga saya bertemu dengan orang yang menganggap bahawa tiada perbezaan antara agama Islam dan agama yang mereka anuti. Bagi mereka semua agama adalah sama, semuanya menekankan akhlak yang mulia.

Ketika saya menghadiri syarahan oleh Bro. Abdul Raheem Green minggu lepas, ada seorang penonton bertanya tentang perkara yang sama, malah dengan bangganya beliau memberitahu bahawa tiada bezanya agama Islam dengan agama Hindu yang beliau anuti. Ini kerana menurutnya, agama Hindu juga menekankan tentang memiliki akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Datuk beliau.

Ketika itu penceramah telah menjelaskan tentang wujudnya perbezaan antara agama ini, serta memberikan contoh 'tuhan orang Hindu adalah patung yang dibeli di kedai, kemudian diangkat ke rumah dan dijadikan tuhan mereka, adakah ia sama dengan Tuhan orang-orang Islam iaitu Allah swt'.

Saya tidak ingin membahaskan persoalan tersebut, akan tetapi ingin bercerita tentang akhlak yang mulia sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah swt.

Ini kerana dalam dunia hari ini, amat susah untuk kita bertemu dengan orang yang betul-betul memiliki akhlak yang mulia. Ramai yang memiliki sifat yang berubah-ubah, kadang-kadang dia teramat baik, kemudian berubah sebaliknya.

Malah dalam banyak situasi saya bertemu dengan orang-orang bukan Islam yang lebih baik akhlaknya daripada orang Islam. Jadi dimanakah silapnya, apakah tidak ada pendidikan akhlak dalam agama kita? ataupun kita kurang menerapkan akhlak-akhlak sebegini kepada anak-anak kita?, yang mana akhirnya wujudlah begitu ramai orang Islam yang tidak tahu berakhlak mulia.

Jika disoroti dalam Islam, banyak ayat-ayat al-Quran yang menekankan tentang akhlak yang mulia, begitu juga banyak hadis yang meriwayatkan tentang kemuliaan akhlak. Dalam masa yang sama kita dijelaskan tentang akhlak-akhlak buruk yang tidak patut ada dalam diri seorang Muslim.

Sepatutnya orang-orang Islam menjadi peneraju utama tentang akhlak yang mulia ini, bukannya meniru-niru daripada orang bukan Islam. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud "dan sesungguhnya kamu (Muhammad) memiliki akhlak yang hebat (mulia)".

Malah dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:
"إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Mengapakah Rasulullah saw memberitahu bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan (utammima) akhlak yang mulia?. Ini kerana secara fitrahnya Allah swt menjadikan setiap insan mempunyai akhlak yang baik, itulah yang kita lihat dalam setiap diri kanak-kanak, tapi akhlak yang mulia itu semakin hilang apabila umur meningkat.

Bila kita melihat kepada akhlak Rasulullah saw, kita dapati bahawa akhlak baginda sentiasa mulia daripada kecil hinggalah ke akhir hayat baginda. Dalam sirah Rasulullah saw terdapat peristiwa dimana diriwayatkan bahawa malaikat membelah dada baginda serta membersihkan hati baginda, apakah itu puncanya baginda sentiasa memiliki akhlak yang mulia?

Jika kita kaji hadis-hadis lain, kita akan dapati bahawa hati merupakan organ terpenting dalam diri kita, yang mana jika baik hati kita maka baiklah diri kita, juga begitulah sebaiknya.

Saya juga terfikir, apakah perkaitan hati dan akhlak kita? Mengapa Rasulullah saw dibersihkan hati, bukannya organ lain dalam tubuh baginda? Apakah unsur yang boleh mengotorkan hati, sedangkan kanak-kanak dilahirkan suci bersih? Mungkinkah pemakanan harian kita? Apakah ubat yang paling mujarab untuk membersihkan hati kita?

Jadi persoalan akhlak yang mulia banyak berkait dengan fakta-fakta lain, yang mana jika kita ingin memiliki akhlak yang mulia, kita juga perlu menjaga perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya seperti pemakanan dan persekitaran kita.

Mengapakah baginda menjelaskan bahawa baginda diutuskan "untuk menyempurnakan akhlak"?

Dari situlah saya nampak apa yang cuba dijelaskan oleh orang-orang bukan Islam tersebut. Sesungguhnya Allah swt begitu adil, menciptakan manusia sempurna sifat dan akhlak yang baik, sama ada muslim ataupun kafir. Tapi sebaik manapun akhlak orang-orang bukan Islam ia tidak sempurna tanpa aqidah yang betul. Dan itulah penyempurnaan bagi akhlak kita iaitu aqidah yang betul dan beriman kepada Allah swt. Subhanallah.

Dalam menyoroti sirah baginda juga, kita dapat melihat bahawa baginda mengasingkan diri dan beruzlah di Gua Hira' sehinggalah baginda menerima wahyu. Ketika itu baginda berfikir tentang kebesaran Allah swt, malah baginda tercari-cari sesuatu, hinggalah Jibril datang menyampaikan wahyu kepada baginda.

Jadi seseorang yang berakhlak mulia masih mengekalkan ciri-ciri fitrah, dan fitrah itu akan mengarah kepada kebaikan. Itulah sebabnya orang-orang bukan Islam menganggap sama sedangkan ia tidak sama. Malah kita juga terpesona dengan kebaikan akhlak yang dipamerkan oleh sesetengah mereka. Sebagaimana kita tertarik kepada setiap kanak-kanak, betapa sucinya mereka, betapa ikhlasnya hati mereka.

Apakah punca wujudnya ramai orang Islam yang berakhlak buruk? Apakah disebabkan mereka jauh daripada agama? Apakah ini menunjukkan bahawa hati mereka kotor? Sememangnya persoalan demi persoalan memerlukan penelitian yang rapi agar kita mampu memahami hakikat kejadian manusia yang sebenar-benarnya.










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat