Bila Agama didahulukan

Bila menyentuh bab agama, dalam internet kita boleh mendapat pelbagai informasi tentangnya, sekali klik saja pelbagai hukum kita boleh dapati dengan senang. Malah disana sini kita dapat membaca orang menulis tentang melakukan kebaikan dalam Islam.

Sayangnya ramai yang kurang menghayati Islam secara keseluruhannya, ramai daripada kita mengambil Islam dari sudut ibadah, kemudian dalam bab-bab lain mengamalkan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam.

Itulah kelemahan umat Islam dimana-mana, kita tidak mampu mengamalkannya secara keseluruhannya. Malah pada hari ini kita didedahkan dengan pelbagai teknik terbaru menarik kekayaan dengan menggunakan ibadah sebagai salah satu daripada tekniknya.

Sedarkah kita bila bercerita perkara sebegitu, apakah betul konsep yang disebarkan? Apakah itu cara yang diajar oleh Rasulullah saw kepada kita ataupun kita yang pandai-pandai mencipta konsep tersebut?

Bila kita kembali kepada agama, biarlah ia didahulukan dalam setiap urusan kita, pastikan diri kita mendalami apa yang kita yakini sebagai agama kita. Biarlah agama yang kita amalkan betul-betul diatas keyakinan kita kepada Allah swt bukannya mengamalkan tanpa memahaminya.

Sepatutnya dalam zaman teknologi ini, kita lebih mampu memahami agama kita dengan lebih baik, kerana kemudahan untuk mendapat maklumat dengan cepat dan banyak, bukan seperti zaman dahulu yang mana ulama kita terpaksa menghabiskan bertahun-tahun umur mereka untuk mengembara mencari ilmu.

Namun apa yang berlaku sebaliknya, semakin mudah untuk kita mendapatkan maklumat, menyebabkan kita kurang bijak menapis apa yang betul dan apa yang salah. Jadi berlakulah keadaan dimana satu sudut betul, manakala dari sudut lain berterabur.

Malah bila membaca dalam blog, banyaknya amalan yang baru digembar-gemburkan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Ini termasuklah teknik mengosongkan fikiran, melakukan amalan sebanyak mungkin untuk menarik kekayaan didunia ini serta pelbagai lagi.

Sedarkah kita bahawa apabila kita betul-betul ikhlas menghampirkan diri kepada Allah, tanpa mengharapkan apa-apa didunia ini, DIA akan memberikan pembalasan yang sewajarnya kepada kita. Kadang-kadang kita tidak perlu meletakkan apapun target keduniaan tapi DIA memberikannya kepada kita kerana DIA tahu bahawa kita ikhlas dalam melakukan kerja-kerja kita. DIA juga tahu bahawa kita terlalu sayangkan agama ini.

Teringat kisah seorang kawan yang menghabiskan masa menterjemah satu kita agama yang mashur beberapa tahun lepas, segala kerja dilakukan dengan penuh keikhlasan tiba-tiba buku terjemahan tersebut diiktiraf oleh kerajaan Saudi dan beliau dianugerahkan hadiah beratus ribu ringgit. Itulah sebenarnya cara umat Islam bekerja, pastikan setiap kerja dilakukan dengan penuh ikhlas, insya Allah dunia akan datang kepada kita.

Akan tetapi dalam dunia hari ini berapa ramaikah orang yang sanggup meluangkan masa melakukan kerja tanpa manfaat keduniaan, semua usaha dilakukan dengan meletakkan matlamat dunia dihadapan.

Lihatlah bagaimana kita dikaburkan oleh orang-orang Barat untuk menjual agama kita dengan bayaran yang mahal. Ini kerana kita menganggap bahawa setiap usaha yang kita keluarkan mestilah mendapat hasil yang berbaloi. Biarlah setiap sen duit yang kita keluarkan untuk mendapat ilmu, kita mampu mendapat balik lebih baik daripada itu.

Itulah sifir kehidupan insan dizaman ini yang jauh berbeza daripada cara umat Islam dahulu.

Bila kita kembali menyorot sejarah hidup ulama silam, kita akan dapati bahawa begitu jauh bezanya dengan kehidupan ulama zaman ini. Ulama-ulama silam berjuang untuk mengembangkan agama ini, malah masyarakat turut dididik untuk memahami konsep kehidupan yang mendidik nafsu, yang mana apabila nafsu kita dididik banyak kemungkaran akan dapat diatasi.

Malangnya dalam dunia hari ini, ramai yang berminat untuk mengikut kehendak nafsu, menyebabkan ramai daripada kita sentiasa hidup dalam kebimbangan, bimbang nafsu dunia tidak mampu dipenuhi.

Dalam masa yang sama kita melihat segolongan pendakwah lagi didalam masyarakat kita yang mengaut keuntungan berkali ganda sehingga ramai yang mencapai status jutawan. Mereka juga membawa konsep dakwah tapi dalam cara lain yang mana sesiapa yang berminat untuk memperoleh ilmu daripada mereka perlulah membayar yuran-yuran tertentu.

Inilah dunia akhir zaman. Moga kita tidak terpesona dengan nikmat yang sementara ini serta ikhlas melakukan urusan kita kerana Allah swt.

Sedih bila melihat agama cuma dijadikan pelengkap urusan kita, sedih juga bila melihat begitu ramai orang yang tidak mempelajari bidang agama tetapi lantang bercerita tentang agama, juga sedih bila melihat pakar agama hanyut dalam arus memburu nikmat dunia yang sementara ini.

Apa nak jadi dengan dunia ini, apakah akan jadi seperti hadis Rasulullah saw: "bila urusan diserahkan kepada orang yang bukan pakar tentangnya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat."

Begitu juga apabila melihat ramai ibubapa sekarang yang begitu beria-ia mendidik anak-anak menghafal agama ini, bukannya memahaminya. Apakah bentuk masyarakat yang akan wujud 20 tahun akan datang, masih wujudkah lagi orang yang mampu memahami agama ini dengan betul.

Maka betullah hadis baginda Rasulullah saw: "tidak akan berlaku hari kiamat sehingga umatku mengambil cara kurun sebelumnya sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta, maka kamipun berkata: Ya Rasulullah, seperti Farsi dan Rom? Maka jawab baginda: "Siapa lagi selain mereka".

Moga-moga kita tergolong ke dalam golongan yang mendahulukan agama dalam setiap urusan kita, serta mengamalkan Islam secara keseluruhannya.








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat