Persoalan Sikap Umat Islam

Alhamdulillah malam tadi kami berkesempatan menghadiri syarahan oleh Bro. Abdul Raheem Green di Ampitheatre Qurm bertajuk "The Best Way of Life". Sebenarnya ia dilakukan tanpa perancangan, kerana program kami ialah rehlah hujung minggu.

Bila seorang kawan memberitahu tentang syarahan tersebut, tambahan lagi ia bersebelahan dengan tempat rehlah kami, maka inilah peluangnya untuk kami menghadirinya. Maka program yang bermula daripada lepas zohor bersambung hingga ke malam hari.

Alhamdulillah banyak perkongsian ilmu yang diperolehi malam tadi, walaupun pengisiannya agak biasa bagi kami tapi pengajaran yang diperolehi amat bermakna sekali bagi kami sekeluarga.

Pengajaran pertama ialah melihat bagaimana kesungguhan seorang Muslim melakukan dakwah, itulah cara yang diajar oleh Rasulullah saw kepada kita, akan tetapi kita lebih senang berdiam diri. Bila melihat kesungguhan beliau menyampaikan syarahan, terasa bahawa beliau amat memahami tuntutan hidup sebagai seorang Muslim.

Dalam tempoh 23 tahun sebagai Muslim, beliau masih lagi menganggap bahawa beliau baru dalam Islam, itulah perbezaan antara Islam warisan dan Islam pilihan. Malah kita juga menganggap bahawa beliau adalah mualaf sedangkan tempoh 23 tahun bukanlah tempoh yang singkat, mengapa masih wujud perbezaan sebegini?

Pengajaran kedua ialah bagaimana untuk berdebat dan menjelaskan tentang Islam kepada orang-orang bukan Islam. Ini kerana program ini dikhususkan untuk golongan bukan Islam untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam. Jadi program malam tadi dihadiri juga oleh ramai orang bukan Islam, dan sesi soal-jawab memang dikhususkan untuk mereka.

Alhamdulillah seronok bila mendengar persoalan orang-orang Kristian dan Hindu tentang perbezaan dan persamaan agama mereka dengan Islam. Moga Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima Islam sebagai agama mereka.

Pengajaran ketiga ialah apakah sebenarnya sikap orang-orang Islam. Memandangkan program ini disampaikan dalam bahasa Inggeris maka kebanyakan pendengar adalah daripada orang-orang India dan Pakistan termasuklah orang-orang Oman yang tahu berbahasa Inggeris.

Namun begitu, kadang-kadang saya merasa kecewa dengan sikap umat Islam sendiri yang begitu berpuak-puak. Persoalan kaum ini amat jelas dalam kehidupan orang Islam disini, orang India dengan cara mereka, orang Pakistan dengan cara mereka, orang Arab pula dengan cara tersendiri, memang inilah masalah utama umat Islam hari ini. Akhirnya umat Islam sendiri yang rugi.

Seperti biasa, kebanyakan urusetia terdiri daripada orang-orang India Muslim yang begitu komited dalam dakwah mereka. Sayangnya mereka amat tegas dalam setiap perkara sehingga ternampak bahawa Islam ini amat keras. Yang diutamakan adalah dakwah kepada orang-orang bukan Islam, sedangkan hubungan sesama Muslim dipandang remeh.

Sedihnya bila terpaksa menghadapi kata-kata berbentuk soalan "Are you Muslim?", "no..this book only for non-Muslim" serta beberapa lagi kata-kata yang tidak sedap didengar. Kadang-kadang terfikir, apakah mereka sudah tidak mampu membezakan antara seorang Muslim dan bukan Muslim? Apakah ada wanita bukan Islam yang berpakaian jubah dan tudung labuh? Pelik dan teramat pelik...

Namun itulah realiti yang terpaksa ditempuhi apabila kita menyertai kaum lain yang bukan sebangsa dengan kita. Mungkin itulah sebabnya tidak ramai kaum lain yang sanggup menyertai program mereka kecuali orang bukan Islam yang dijemput khas.

Sebenarnya syarahan agama sebegini amat menarik untuk dijadikan program muhasabah untuk umat Islam lain memandangkan begitu kurangnya kelas-kelas agama dalam bahasa lain. Namun apabila kita berdepan dengan sikap umat Islam yang sebegini, ia akan melemahkan semangat kita untuk terus menghadiri program seterusnya.

Apabila program berakhir, makin terserlah sikap negatif orang Islam hari ini. Sikap mementingkan diri begitu terserlah bila berdepan dengan kesesakan lalu-lintas. Apakah ini sikap yang ingin ditonjolkan?

Bak kata suami; "tengoklah sikap orang yang baru keluar daripada ceramah agama, bersesak-sesak masing-masing cuba mencelah agar mereka mampu melepasi kesesakan tersebut dengan cepat". Mampukah kita bersabar bila menghadapi keadaan sebegini. Nasib baik teringat iklan kat Malaysia dulu.."jangan memotong barisan" dapat juga kami bersabar.

Bayangkan jalan dua hala sudah jadi sehala, malah empat barisan baru dikiri jalan dan tiga barisan baru dikiri jalan dijadikan jalan pintas agar mereka lebih cepat keluar daripada jalan itu. Kesudahannya kami tersadai hampir dua disitu hinggakan anak-anak tertidur. Jadi program dua jam ditambah dua jam kesesakan jalan, menjelang tengah malam baru kami tiba dirumah.

Sememangnya begitu banyak pelajaran yang kami perolehi semalam, alhamdulillah.

                 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat