Mengulas Sedikit.
Alhamdulillah saya pernah mengajar asas-asas yang berkaitan dengan Al-Quran, Al-Sunnah serta Sirah Rasulullah saw. Ketika itu saya terfikir mengapa ulama menciptakan ulum quran, ulum hadis, usul al-fiqh dan fiqh al-sirah, apakah ilmu-ilmu ini begitu penting untuk kita pelajari?
Apakah tidak memadai kita tahu mengaji al-quran, tahu sejarah hidup baginda Rasulullah saw sahaja? Ketika itu pelbagai persoalan timbul, malah ketika mengajarnya pelbagai idea mencurah-curah, alhamdulillah.
Namun setelah empat tahun berhenti daripada tugasan tersebut, saya masih lagi memikirkan kepentingan ilmu-ilmu asas tersebut. Sememangnya ilham yang diperolehi oleh ulama-ulama terdahulu mampu membantu kita untuk mendalami ilmu-ilmu tersebut dengan lebih jelas.
Bayangkan kita cuma belajar sejarah hidup Rasulullah saw tanpa mempelajari fiqh al-sirah, apakah kita dapat menghayati sejarah hidup baginda dengan ertikata yang sebenar-benarnya? Ataupun kita cuma belajar tafsir quran tanpa mengetahui ulum quran serta asas-asas untuk menjadi seorang mufassir? Ataupun kita belajar hadis tanpa mengetahui ulum hadis? Apakah kita mampu untuk memahami tafsir ataupun hadis yang kita pelajari dalam konsep yang betul?
Sebenarnya itulah situasi yang berlaku dalam dunia Islam sekarang, ramai orang bercakap disana sini tentang Islam tapi tidak pernah mempelajari ilmu-ilmu asas tersebut. Itulah sebabnya kita melihat banyak hadis-hadis palsu disebarkan dalam masyarakat kita dan ia dijadikan pegangan ramai.
Begitu juga kita sentiasa mendengar sirah hidup baginda tapi tidak dapat menghayatinya secara mendalam tanpa mempelajari fiqh sirah. Subhanallah, semua ilmu yang diperkembangkan oleh ulama terdahulu ada kepentingannya, janganlah kita menidakkannya.
Luangkanlah masa kita mempelajari ilmu-ilmu ini dengan penuh ikhlas agar kita dapat memahami agama kita dalam ertikata yang sebenar-benarnya.
Inilah peringatan buat diri agar berhati-hati dalam menulis, sesungguhnya masih banyak ilmu yang memerlukan pemahaman kita dengan berpandukan cara ulama terdahulu.
Ulasan