Perumpamaan yang Menarik

Alhamdulillah kita dilahirkan sebagai seorang Muslim, jadi kita dapat mengecap nikmat iman dan Islam semenjak dari kecil. Memang jauh bezanya daripada orang yang hidupnya masih lagi tercari-cari cahaya iman.

Alhamdulillah sepanjang hidup kita banyak ilmu dan pengalaman hidup sebagai seorang Muslim dapat kita rasai. Namun begitu persoalannya apakah tahap keimanan kita hari ini? Apakah ia tetap sama statusnya dengan tahap kita semasa kecil dahulu? Sama-samalah kita memuhasabah diri agar tahap keimanan kita meningkat bersama peningkatan umur kita.

Cubalah hitungkan berapa kali kita telah melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat dalam hidup kita. Apakah hasilnya yang kita rasai selama ini? Mungkin kita jarang nampak hasil secara material kerana kesannya lebih kepada spiritual kita.

Tapi sebenarnya ibadah-ibadah tersebut adalah merupakan pengalaman sepanjang hidup kita, daripada ibadah solat 5 waktu sehari semalam, kepada ibadah bulanan, tahunan dan ibadah sekali seumur hidup kita.

Alhamdulillah beruntungnya kita yang dilahirkan sebagai seorang Muslim dan kita menyedarinya. Ia merupakan titik perubahan dalam hidup kita, perubahan ke arah kejayaan didunia dan diakhirat. Oleh itu sentiasalah ucapkan syukur kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita.

Bayangkanlah diri kita sebagai seorang yang menghadiri kem motivasi dengan jumlah bayaran tertentu untuk mengubah diri, akan tetapi berkali-kali menghadiri kem motivasi yang sama tapi belum mampu berubah. Apakah bentuk manusia tersebut? Apakah unsur kejadiannya menyebabkan amat susah untuk berubah.

Hitungkanlah juga berapa banyak kos yang terpaksa kita keluarkan untuk mengikuti kem motivasi tersebut, sekiranya kita masih belum mampu untuk berubah, sengsaralah hidup kita selamanya.

Jika kita bandingkan amalan kita dengan program motivasi sebegitu amat jauh sekali bezanya. Amalan kita tunaikan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, semuanya percuma, sepatutnya dalam masa yang sama ia mampu mengubah sikap kita.

Sebagaimana firman Allah tentang solat "Sesungguhnya solat itu mampu mencegah kamu daripada melakukan perkara keji dan mungkar". Begitu pula ibadah puasa mampu menjadikan kita orang-orang yang bertaqwa. Dalam masa yang sama ibadah zakat menyucikan jiwa kita.

Sememangnya Allah swt lebih mengetahui keperluan hamba-hamba-Nya. Ada hikmah dalam setiap amal perbuatan yang diwajibkan kepada hamba-hamba-Nya.

Namun begitu kita jarang memikirkan secara mendalam tentang diri kita, ramai yang lebih suka melakukan ala kadar sahaja. Apakah ala kadar itulah yang kita harapkan natijahnya kemudian hari? Sedangkan setiap hari dan setiap waktu solat kita diseru ke arah kejayaan semasa azan dilaungkan. Apakah bentuk kejayaan itu?

Bayangkan jika kita membeli sebuah alat elektronik yang dicipta oleh manusia, sama ada komputer, handphone, mesin basuh atau apa saja. Tentu kita memerlukan manual tentang bagaimana untuk menggunakannya, dan kita tidak akan mampu menggunakannya tanpa tatacara penggunaan yang betul.

Dari manakah kita boleh mendapatkan penjelasan tersebut? Mestilah daripada arahan-arahan yang disertakan bersama-sama dengan alat tersebut, dalam masa yang sama kita meminta tunjuk ajar daripada wakil jualan barangan tersebut. Jadi dari situ kita boleh menggunakan barangan kita dengan baik.

Semestinya kita begitu teruja untuk menggunakan alatan tersebut sebaik mungkin, malah menjaganya dengan sepenuh hati. Kita begitu sayangkan alatan kita, setelah kita mengeluarkan begitu banyak wang untuk mendapatkannya.

Cubalah kita bandingkan pula dengan diri kita, apakah kita telah menggunakan buku panduan kejadian kita dengan betul? Allah swt yang telah mencipta kita, telah menyediakan satu buku panduan untuk menghidupkan diri kita dengan cara yang terbaik, itulah Al-Quran.

Apakah kita telah membaca dan memahaminya sebaik mungkin? Apakah kita cuma menghafal tanpa menghayati maksudnya? Apakah kita telah mengambil segala panduan dan teladan sebagaimana yang ditunjukkan oleh wakil-Nya? Itulah tanda kasih sayang Allah pencipta kita.

DIA menciptakan kita, kemudian menyediakan wakil-Nya (Rasulullah saw) untuk menjelaskan kepada kita bagaimana cara untuk hidup didunia ini. Dalam masa yang sama DIA menyediakan buku panduan (Al-Quran) kepada kita, tapi berapa ramaikah hamba-hamba-Nya yang menggunakan buku panduan ini dalam hidup mereka?

Dalam dunia hari ini, ramai yang lebih suka menerimapakai idea-idea manusia daripada merujuk buku panduan yang telah disediakan tersebut. Ramai yang beralasan tidak boleh memahami, tidak tahu serta pelbagai lagi alasan yang mampu diberi. Selagi kita tidak kembali merujuk kepada buku panduan kejadian kita, selama itulah kita akan gagal menghidupkan diri kita mengikut cara yang betul.

Begitu juga kita tanpa segan silu mengaku bahawa kita tidak mampu untuk memahami bahasa Arab yang digunakan, sedangkan kita tidak berusaha ke arah itu. Kita begitu fokuskan urusan keduniaan kita, sedangkan urusan agama dilaksanakan ala kadar tanpa sebarang penambahan semenjak kita mula melaksanakan ibadah tersebut.

Itulah yang berlaku kepada umat Islam hari ini, kita terus ketinggalan dalam semua sudut kerana kita telah jauh meninggalkan panduan yang diberikan oleh Pencipta kita. Malah kita tidak mengendahkan kata-kata wakil-Nya dengan menganggap bahawa kita akan ketinggalan zaman sekiranya kita mengikuti kedua-duanya.

Moga kita mampu menghidupkan diri kita secara optimum mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah.
 يا رب ثبتني على دينك وطاعتك






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat