Masih lagi Berfikir

Berfikir dan terus berfikir...bak kata-kata: "berfikir sesaat lebih hebat daripada berzikir".

Sebagai Muslim kita sentiasa diingatkan untuk berfikir sama ada melalui pembacaan ataupun melihat kehebatan kejadian alam ini. Sesungguhnya berfikir mampu meningkatkan daya tahan tubuh kita, kerana kita akan mampu menangkis gangguan unsur luar dengan mempraktikkannya.

Bila kita memfokuskan tumpuan kita, kita mampu memahami apa yang tersirat dalam setiap ayat yang kita baca. Setelah dihayati lebih mendalam kita akan mampu sampai kepada maksud sesuatu arahan itu diberikan. Subhanallah. Itulah teknik yang kurang diminati oleh orang zaman sekarang walaupun ramai yang menulis disana sini.

Saya masih lagi memikirkan tentang cara al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, mengapa ia amat berbeza daripada cara kitab-kitab sebelumnya diturunkan? Ini kerana Nabi Muhammad saw menerima wahyu secara beransur-ansur sedangkan Nabi-nabi lain menerimanya secara sekaligus, malah pengumpulan Al-Quran dimulakan pada zaman sahabat.

Apakah hikmah disebalik apa yang berlaku ketika itu?

Mungkin ada yang menjawab kerana perbezaan tahap pemikiran umat yang mengikuti baginda, dimana Rasul-rasul lain menerima wahyu untuk disampaikan kepada umat yang telah ada asas pendidikan, yang mana mereka telah ada ilmu sebelum kitab lain diturunkan. Itulah kaum Yahudi dan Nasrani yang telah menerima kitab Zabur, Taurat dan Injil.

Sedangkan orang-orang Arab adalah masyarakat 'ummi', tidak ramai yang tahu mengenai kitab sebelum mereka. Jadi segala ilmu baru perlulah diajarkan secara perlahan-lahan agar mereka mampu memahaminya secara mendalam.

Itulah kitab al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab, bahasa yang mampu difahami oleh umat ketika itu. Itupun memerlukan masa 23 tahun untuk menerima sepenuhnya isi kandungan Al-Quran dan dihafal oleh para sahabah yang terkenal dengan kekuatan memori mereka. Itulah kehebatan zaman Rasulullah saw, dimana para sahabah berusaha untuk mendalami isi kandungan al-Quran sebaik-baiknya sebelum menghafalnya.

Kewajiban kita ialah memahami isi kandungannya serta mengamalkannya kerana masih terlalu banyak misteri dan ilmu yang terdapat didalam al-Quran yang belum kita ketahui, malah masih banyak ungkapan yang tidak mampu kita fahami sehingga kini.

Bagi saya apabila kita sudah mampu memahami isi kandungan ayat tersebut dengan sebaik-baiknya, maka hafallah insya Allah kita tidak akan menghadapi masalah lupa, ketika itu kita akan terasa manisnya menghafal dan mengulang ayat-ayat tersebut kerana kita tahu apa maksud ayat tersebut diturunkan.

Bayangkan para Sahabah menghafal al-Quran ketika sudah berumur, malah ramai yang menghafalnya ketika berusia lanjut, mengapa mereka mampu mengekalkan hafalan mereka? Ini kerana mereka memahami setiap isi kandungannya, yang mana jika mereka tidak faham mereka akan bertanya terus kepada baginda Rasulullah saw.

Sedangkan kita diberitahu bahawa susah untuk menghafal quran bila berusia lanjut, maka wujudlah ramai orang tua yang takut untuk menghafal quran kerana mereka diberitahu sebegitu.

Fikirkanlah pula apa yang berlaku kepada umat Islam ketika mana terdapat begitu ramai penghafaz al-Quran disana sini, apakah ia sama dengan apa yang dihayati oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya? Fikir-fikirkanlah...

Moga Allah memasukkan kita ke dalam golongan yang mengasihi-Nya serta kasihkan Kitab Suci-Nya dengan mengamalkan isi kandungannya. Amiin.


Ulasan

azie berkata…
salam

tanya boleh, betul ke tak betul kalau selepas kita hafal sesuatu ayat quran dan kemudian kita lupa maka balasannya adalah dosa?

p/s: saya suka baca tulisan akak

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat