Bukan Bahasa Kita...
Alhamdulillah hari ini saya terasa ingin menyambung idea semalam, masih lagi berfikir. Seronok rasanya bila dapat meluahkan segala perkara yang difikirkan disini, moga-moga orang lain juga turut berfikir dan kita sama-sama mendapat keredhaan Allah swt.
Bila saya bercerita tentang memahami dan menghayati sebelum menghafal, ini kerana apa yang dihafal itu bukan dalam bahasa ibunda kita. Jika kita menghafal sesuatu dalam bahasa yang mampu kita fahami, ia tidak mendatangkan masalah.
Akan tetapi kita menghafal Al-Quran yang diwahyukan dalam Bahasa Arab, ia bukan bahasa pertuturan kita sehari-hari. Mungkin kita berasa seronok meniru adat orang Arab yang mengajar anak-anak mereka menghafal semenjak kecil, dengan harapan kita akan dapat kesan seperti mereka. Itulah yang dilakukan oleh orang Ajam (bukan Arab) dimana-mana, India, Pakistan, Bangladesh, Turki termasuklah orang Islam di negara kita.
Sayangnya kita tersilap perkiraan kerana kita melakukan perkara yang amat berbeza daripada orang-orang Arab. Orang Arab mengajar anak-anak mereka menghafal kerana itu bahasa mereka, bila disebut sahaja anak-anak mereka dapat menghayati maksudnya. Namun begitu mereka juga menghadapi masalah kerana bahasa Arab yang digunakan didalam Al-Quran agak berbeza daripada bahasa Arab yang mereka gunakan. Ini kerana perkembangan bahasa yang berlaku semenjak Islam berkembang pesat ke kawasan lain.
Sesungguhnya bahasa Arab yang digunakan Al-Quran memang tinggi dan mampu memberi kesan kepada setiap insan yang mendengarnya. Apatah lagi bagi orang yang mampu memahami maknanya. Terasa kerdilnya kerana sehingga sekarang saya masih belum mampu mendalami bahasa ini, moga Allah memberi kekuatan untuk saya melakukannya.
Teringat pula program di TV yang menunjukkan seorang ustaz yang suka membuat ujikaji kesan bacaan Al-Quran kepada orang yang mendengarnya. Beliau suka mencubanya kepada orang-orang bukan Islam, maka beliau cuba bercerita dalam bacaan (guna bahasa Arab) seolah-olah Al-Quran, kemudian beliau menukar ayat yang digunakan kepada ayat-ayat al-Quran.
Akhirnya beliau akan bertanya kepada si pendengar adakah apa-apa perbezaan bila kamu mendengar kedua-dua bacaan tersebut. Biasanya si pendengar akan memberitahu bahawa terdapat getaran yang sangat hebat bila dia mendengar bacaan Al-Quran. Ya lah ustaz tersebut cuma memberitahu dia datang ke situ naik kapal terbang dan sedikit cerita lagi sedangkan ayat-ayat al-Quran adalah wahyu daripada Allah swt.
Itulah sedikit contoh perbezaan ayat Quran dan bahasa Arab biasa, malah kesannya kepada orang yang mendengarnya.
Namun bagi kita yang bukan dilahirkan di dalam keluarga Arab, memang kita susah untuk memahaminya tanpa menggunakan kitab terjemahan. Akan tetapi bila kita sudah biasa mendengarnya kita akan ternanti-nanti untuk mendengarnya lagi. Sesungguhnya ungkapan dalam bahasa Arab memang indah, lebih indah lagi jika kita mampu memahami setiap perkataannya.
Itulah yang menyebabkan saya kadang-kadang tertunggu program yang dikendalikan oleh orang yang pandai menggunakan bahasa yang indah, sebutan dan perkataan yang digunakan memang menenangkan jiwa kita yang mendengarnya.
Perhatikanlah perbezaan sebutan antara bahasa Arab dan bahasa Inggeris, bila kita menuturkan dalam bahasa Arab lebih lembut daripada menggunakannya dalam bahasa Inggeris. Itulah i'jaz al-Quran, mukjizat yang dikurniakan Allah swt kepada Rasulullah saw, iaitu kelebihan bahasa Arab.
Sayangnya dalam dunia hari ini, kita terlalu melebih-lebihkan bahasa Inggeris malah orang Arab sendiri memandang rendah bahasa mereka, terutama orang Arab yang mendapat pendidikan barat. Mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris sedangkan terdapat banyak kelebihan menuturkan bahasa mereka sendiri.
Teringat pula kisah orang-orang Mongolia dan orang-orang di Asia Tengah (bukan Arab) yang fasih menggunakan bahasa Arab. Itulah punca mereka mampu mengekalkan agama mereka walaupun ditekan oleh orang-orang bukan Islam.
Begitu juga yang dilakukan oleh ramai ulama Asia Tenggara dulu sehinggakan kebanyakan buku agama dalam bahasa Melayu menggunakan bahasa Arab sebagai tajuknya. Malah ada ulama Asia Tenggara mengajar di Mekah dan menghasilkan buku-buku untuk kita. Itulah kehebatan umat Islam yang mengagungkan penggunaan bahasa Arab, tapi dimanakah kita di saat ini?
Itulah bahasa yang bukan bahasa kita, tapi amat penting bagi orang Islam. Bayang jika kita mengaku Muslim tapi sampai ke tua kita tidak tahu bahasa Arab, apakah kita memahami setiap perkataan yang kita tuturkan setiap hari semasa solat?
Kita mengaji al-Quran setiap hari tapi tidak mampu menangkap apa maksud ayat yang kita baca. Selagi kita bukan orang Arab dan tidak terdetik untuk mempelajari bahasa ini, apalah yang kita ingin capai didunia ini? Jika kita bercakap berapi-api tentang Islam tapi tidak cuba mendalami bahasa ini, apakah kita telah mempraktikkan sunnah Rasulullah saw?
Bila kita memberi motivasi kepada orang lain tentang kehebatan minda, tapi dalam masa yang sama kita sendiri tidak mampu menggunakan kekuatan minda kita untuk mendalami bahasa ini, apalah yang dapat kita harapkan pada insan sebegitu?
Apakah kita tidak takut untuk tergolong ke dalam golongan munafiqun, ataupun kita termasuk ke dalam golongan yang beriman setakat kerongkong kita sahaja? Itulah yang diingatkan kepada kita oleh kekasih kita Rasulullah saw.
Moga-moga kita dapat memahami apa sebenarnya yang kita cari di dunia yang penuh ilusi ini. Bila kita sudah menemuinya, tiada apa yang lebih bererti selain mendapat setulus cinta-Nya.
Ulasan