Positif Saja, jangan fikirkan negatif...

Sekadar ingin berkongsi pengalaman berfikiran positif sahaja.
Alhamdulillah boleh dikatakan saya selalu mengamalkan berfikir positif semenjak kecil, malah saya amat tidak suka berfikir negatif. Alhamdulillah Allah memberikan kejayaan dalam pelajaran semenjak kecil walaupun realitinya saya lahir dalam keluarga susah dan dibesarkan dalam serba kesusahan semenjak kecil. Ini kerana saya tidak pernah memikirkan kesusahan itu, serta mencari jalan keluar.

Sebagai contoh sewaktu sekolah menengah, kebanyakan pelajar menghadiri kelas tuisyen berbayar pada waktu petang, ketika itu saya akan menghabiskan masa berada disekolah, sambil berbuat sesuatu agar saya juga mampu mendapat ilmu sebagaimana orang lain. Alhamdulillah saya juga mampu mendapat kejayaan seperti kawan-kawan lain.

Begitu juga ketika berada di universiti, saya cuma melakukan sebaik mungkin agar terus berjaya. Saya tidak suka memikirkan kesusahan hidup, cuba hidup semampu saya serta mengatur perbelanjaan daripada duit biasiswa sahaja. Mungkin sesetengah orang akan menganggap saya melarikan diri daripada realiti. Tapi alhamdulillah saya mampu berjaya dengan cara ini.

Tidak berfikir, tapi bila Allah swt menetapkan sesuatu, DIA ingin memberikan sesuatu kepada kita.
Setelah berkahwin, saya bertemu dengan insan yang mempunyai pemikiran yang agak berbeza daripada saya. Bukan senang untuk memahami pemikiran antara satu sama lain, ditambah masalah bahasa dan budaya. Namun saya tetap positif, ada sesuatu ilmu yang Allah ingin berikan kepada saya jika saya mampu mengatasi masalah ini.

Dalam kesusahan yang dialami tersebut, Allah swt menguji dan terus menguji kami hinggakan saya selalu tertanya-tanya apakah yang ingin KAU berikan kepadaku Ya Ilahi.

Saya yang selalu berfikir positif sahaja terpaksa berdepan dengan insan yang berfikiran luar biasa, tetapi meletakkan negatif sebagai satu peringatan. Memang saya akui ilmu beliau lebih banyak daripada saya malah beliau terlebih dalulu menghadapi ujian yang lebih hebat daripada saya. Ditambah lagi kepakaran beliau dalam bidang Usuluddin dan Usul-Fiqh, saya yakinkan diri bahawa tidak salah saya menerima idea-idea beliau. Alhamdulillah.

Bila saya kembali melihat cerita-cerita didalam Al-Quran, saya dapati bahawa Allah swt memberi peringatan kepada kita daripada positif dan negatif. Mengapa Allah menceritakan tentang syurga, dalam masa yang sama menyebut tentang neraka. Mengapa Allah menceritakan tentang akhlak mulia, dalam masa yang sama menceritakan tentang akhlak buruk. Maknanya tidak salah kita memikirkan perkara negatif sebagai peringatan kepada kita agar selalu bersedia menghadapinya.

Itulah ilmu Islam yang berbeza daripada idea motivasi barat yang terlalu menekankan berfikir positif sahaja serta pelbagai lagi idea berkaitan dengannya.

Dari situ saya belajar berfikir semula, apa sebenarnya yang berlaku dalam perjalanan hidup saya mengenal Allah swt. Apakah betul tahap keimanan kita hanya "iman 'ajaaiz" yang belum mampu menyingkap realiti sebenarnya kekuasaan Allah swt.

Juga itulah bezanya iman kita yang selalu menggunakan teori barat dalam pemikiran kita daripada pemikiran insan yang berfikir berdasarkan ilmu-ilmu yang diperkembangkan oleh ulama-ulama Islam terdahulu.  


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman