Akhlak yang Baik - Husnul Khulk
Dalam dunia hari ini, kita diajar agar tidak menghalang keinginan anak-anak, setiap kemahuan dituruti kerana jika kita menghalangnya dibimbangi akan mencacatkan perkembangan pemikiran anak-anak.
Jadi bila agaknya kita boleh mula mengajar tentang akhlak yang mulia kepada anak-anak kita? Ini kerana pendidikan akhlak menyebabkan kita perlu berkata 'tidak' kepada mereka. Apa yang perlu diperbetulkan mestilah diberi penjelasan agar anak-anak boleh menerima dengan baik anjuran kita.
Jika kita menyorot sirah Rasulullah, kita akan dapati bahawa akhlak baginda memang terjaga semenjak kecil. Malah akhlak itulah yang menjadi punca dakwah baginda senang diterima oleh sahabat-sahabat baginda. Jadi dakwah dan akhlak tidak boleh diasingkan.
Itulah contoh yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah kepada kita, mampukah kita mempraktikkannya?
Bagi saya, setiap orang adalah pendakwah kerana kita dijadikan sebagai khalifah dialam ini. Apa saja yang kita lakukan akan memberi kesan kepada alam sekeliling kita. Apa yang kita lakukan mencerminkan hati kita.
Lebih-lebih lagi seorang wanita, betapa hebatnya pendakwah wanita, kadang-kadang mampu menyebabkan lelaki berubah hanya kerana tuturkata yang dikeluarkan.
Orang yang memiliki akhlak yang baik, mampu memberi kesan kepada orang-orang disekeliling mereka, walaupun tanpa berkata-kata. Itulah hebatnya akhlak yang baik.
Islam datang mengajar kita untuk memiliki akhlak yang mulia, mengajar kita bagaimana berinteraksi dengan orang-orang disekeliling kita dengan baik. Setiap insan mestilah menjaga hubungan baik dengan Allah, serta hubungan dengan manusia dan alam disekeliling kita.
Cubalah didik akhlak kita dahulu, sebelum kita menjadi ibu kerana setiap tingkahlaku kita akan menjadi ikutan anak-anak kita. Didiklah anak-anak untuk memiliki akhlak yang baik, didiklah anak kita untuk cuba memahami hati orang lain, namun ia bukanlah satu tugas mudah.
Apabila kita inginkan akhlak yang baik, kita juga perlu menjaga pemakanan kita. Dalam dunia hari ini, kita mestilah lebih berhati-hati kerana terdapat banyak benda syubhah dalam makanan yang kita beli.
Ada makanan yang boleh mengeraskan hati kita, bila hati keras akhlak yang tidak elokpun mula terserlah. Malah ada makanan yang boleh menimbulkan sifat-sifat negatif kepada penggemarnya, oleh itu berwaspadalah selalu.
Surirumah yang inginkan anak-anak memiliki hati yang lembut mestilah menyediakan makanan yang sesuai untuk keluarga, bukan terima sahaja apa resepi yang dapat. Disamping itu selalulah amalkan doa pelembut hari, agar ahli keluarga kita mampu menjadi contoh keluarga Muslim sejati.
Ulasan