Persoalan "Sikap" Umat Islam
Setiap hari bila menonton berita, hati ini terasa sedih mengingatkan keadaan umat Islam hari ini yang berpecah-belah. Dimana-mana saja berita tentang perbalahan, pertentangan pendapat, peperangan dan segala cerita negatif umat Islam disampaikan. Bilakah agaknya umat Islam boleh bersatu hati? Agak-agaknya adakah wujud lagi suasana begitu hari ini?
Mengapakah kita asyik berdebat tentang perkara-perkara kecil dalam agama hingga sanggup merosakkan ukhwah sesama kita. Pemikiran kita lebih terarah untuk memikirkan perkara-perkara kecil sedangkan isu utama kita abaikan.
Bilamana kita merasakan perkara-perkara khilaf itu yang utama dalam hidup kita, kita melepaskan urusan pentadbiran alam ini kepada orang yang bukan ahlinya, iaitu orang-orang kafir.
Pernahkan kita merasa betapa perlunya umat Islam turut sama berfikir untuk pembangunan alam ini? Jika urusan itu tidak perlu mengapa Allah swt banyak menyebut tentang melihat kejadian langit dan bumi di dalam al-quran.
Hari ini pula disana-sini kita terikut dengan kempen 'earth hour' yang dianjurkan oleh mereka yang menganggap itulah cara terbaik untuk mengurangkan kepanasan bumi ketika ini. Pernahkah kita terfikir siapakah yang menyebabkan kepanasan itu berlaku? Itulah kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka, kemudian seluruh insan dialam ini terpaksa menanggung akibatnya.
Bayangkan jika mereka mengamalkan menutup komputer saja sudah mampu mengurangkan tenaga yang digunakan, akan tetapi mereka tidak melakukannya. Mereka lebih suka melihat bahawa merekalah 'champion' dialam ini, lebih-lebih lagi semua mengikut telunjuk mereka tanpa sedar.
Banyak lagi usaha-usaha lain yang boleh dilakukan jika kita melihat dengan matahati. Sayangnya tiada umat Islam yang mampu bersuara, kita turut sama terikut dengan kerakusan mereka mendapatkan habuan dialam ini.
Inilah kesan ketidakpedulian umat Islam diseluruh dunia, kita asyik bergaduh sesama sendiri, kita berdebat tentang perkara-perkara khilaf dalam agama sambil tuduh menuduh siapa benar dan siapa salah. Apakah hasilnya yang kita dapat? Masa kita cuma habis disitu, sedangkan orang-orang kafir telah sampai ke angkasalepas dengan teknologi yang canggih-manggih.
Apakah kita sedar bahawa kita hanya memikirkan diri-sendiri serta periuk nasi kita semata-mata, jika kita membuka mata luas sedikit kita melihat apa yang berlaku disekeliling kita, kemudian negara kita.
Jarang-jarang sekali kita berfikir tentang apa yang berlaku dialam ini, berapa banyak kerosakan yang telah dilakukan oleh insan yang rakus mengejar kekayaan disana-sini. Akhirnya kita akan turut hancur bersama-sama kehancuran alam ini kerana kita tidak pernah ambil peduli mengenainya.
Jadi siapakah yang harus kita persalahkan? Apakah kita sudah melakukan tanggungjawab kita selama ini? Sama-samalah kita fikirkan sejauhmana kepedulian umat Islam tentang alam ini.
Sebenarnya umat Islam mampu bersatu ketika ingin menunaikan solat, bayangkan kita tidak perlu mengambil masa yang panjang apabila iqamah dilaungkan. Ketika itu semua mampu berada didalam saf yang lurus dengan matlamat yang satu, hatta di Makkah dengan jumlah lebih sejuta orang, semuanya mampu berbaris untuk menghadap Allah yang satu.
Akan tetapi mengapa kesatuan tersebut tidak mampu diluaskan ke luar waktu solat? Apakah makna solat yang mampu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, jika kita hanya mampu berlakon ketika bersolat, sedangkan realitinya kita tidak mampu bersatu hati.
Moga Allah menyatukan hati umat Islam yang betul-betul ikhlas, serta betul-betul memahami apakah tuntutan hidup mereka.
Ulasan