Mengapa Wanita Berubah Selepas berkahwin?

Apakah aku wanita didalam gambar ini? Betulkah aku dalam gambar itu?
Macam-macam lagi perkataan yang akan terlintas difikiran ketika melihat wajah kita suatu ketika dulu. Apakah itu menandakan perubahan yang wanita lalui dalam fasa hidup mereka?

Ini adalah salah satu tajuk perbincangan yang terdapat dalam majalah "Almara' Alyoum" minggu lepas. Bagi orang-orang Arab memang terdapat perbezaan yang jelas diantara wanita bujang dan selepas berkahwin. Ini kerana kebanyakan wanita berubah dari segenap sudut selepas berkahwin, apatah lagi wanita yang bergelar surirumah sepenuh masa.

Memang terdapat banyak perbezaan antara gaya hidup wanita Arab yang berkahwin dan sebaliknya. Ini kerana selepas berkahwin setiap tindak-tanduk terpaksa dijaga, malah mesti mendapat kebenaran suami sebelum melakukan sesuatu aktiviti.

Sebenarnya itulah cara hidup wanita Muslim, tapi apabila terpaksa mendapat kebenaran untuk melakukan setiap urusan, ia menyempitkan langkah wanita, dan menyebabkan tekanan. Kita juga menempuh perkara yang sama, bezanya wanita melayu lebih bebas menentukan pilihan mereka terutama wanita-wanita yang berkerjaya. 

Mengapakah wanita berubah selepas berkahwin? Adakah wanita yang masih mampu mengekalkan cara hidup seperti sebelum berkahwin? Itulah diantara persoalan yang juga berlegar-legar dalam fikiran saya. 

Perkahwinan adalah satu impian indah yang dikejar oleh setiap wanita, ia kemudian berubah menjadi tanggungjawab besar yang mesti dipenuhi. Jika kita tersilap langkah ia boleh menjadi bebanan dan punca masalah yang berterusan dalam hidup kita. 

Menurut Dr. Manal Dieb - pakar ilmu perkembangan manusia: "diantara persediaan yang perlu kita miliki sebelum berkahwin ialah:
1. Tentukan apa matlamat yang ingin kita capai. Adakah wanita tersebut ingin bekerja selepas berkahwin? Apakah yang akan dilakukan selepas mendapat anak, adakah terus bekerja ataupun memohon cuti tanpa gaji? Pastikan matlamat tersebut jelas dan mendapat persetujuan bakal suami.

2. Masukilah alam perkahwinan dengan penuh persediaan dari segala sudut, rohani, emosi dan fizikal. Ini kerana kestabilan inilah akan menjadikan perjalanan perkahwinan kita lebih teratur dan bahagia.

3. Letakkan juga program B untuk diri kita, dimana kita masih mampu mengikut keinginan hati kita walaupun selepas berkahwin. Ini kerana wanita terpaksa berkorban demi menjaga kesejahteraan keluarga, janganlah sampai pergorbanan ini menghancurkan segala impian untuk diri sendiri.

4. Jauhilah fikiran-fikiran negatif yang sentiasa menganggu fikiran, seperti "anda akan kehilangan bentuk badan anda selepas berkahwin", "anda akan kehilangan kebebasan anda selepas berkahwin".

Itulah diantara saranan beliau, yang mana inilah diantara punca masalah yang kurang diambilkira sebelum berkahwin. Ramai yang menyangka bahawa perkahwinan adalah mudah dan senang, terutama bagi yang telah bercinta sakan sebelum berkahwin. 

Jadi adakah kita berubah selepas berkahwin ataupun tidak, itu terpulang kepada cara kita mengatur hidup keluarga kita. Janganlah kita jadikan perkahwinan kita sebagai satu sebab untuk memutuskan ikatan persahabatan yang telah lama terjalin.

Sepatutnya perkahwinan mampu meluaskan lagi lingkungan orang-orang yang rapat dengan kita, kerana kita mempunyai keluarga dan rakan-rakan lama kita, kemudian kita akan mempunyai hubungan dengan orang-orang yang rapat dengan suami kita.

Namun realitinya, ramai yang terputus hubungan dengan rakan-rakan lama selepas berkahwin, hinggakan bertahun-tahun tidak pernah bertanya khabar "apa khabar sahabatku ini?" Alam yang baru dibentuk hanyalah keluarga, suami kemudian anak-anak kita sahaja, wanita seolah-olah menolak ke tepi sumber kebahagiaan lain selepas berkahwin.

Ramai wanita melupakan sahabat-sahabat lama selepas berkahwin, sedangkan sahabat tersebut lebih mengenali dan memahami mereka. Malah sahabat-sahabat inilah yang mampu membantu menstabilkan emosi kita ketika menghadapi masalah kerana mereka lebih memahami kita daripada sahabat-sahabat yang baru kita temui.

Jadi apakah kita berubah ataupun tidak selepas berkahwin, muhasabahlah diri kita...pastikan kita masih lagi sama, masih lagi bersemangat seperti dulu walaupun hidup kita mungkin berubah.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas