Mengapa Susah untuk Menulis?

Persoalan yang sentiasa singgah difikiran ini ialah mengapa susah untuk menulis, terutama apabila berhenti seketika untuk memberi laluan kepada urusan lain yang lebih penting pada pandangan kita.

Bila ceritakan pada insan yang memegang prinsip mesti positif, kita akan dinasihati agar tidak mengatakan 'susah' kerana perkataan 'susah' akan menyusahkan urusan kita.

Malah kita akan disaran untuk menukarkannya kepada perkataan 'senang', kerana perkataan 'senang' apabila diulang-ulang akan memudahkan urusan kita.

Begitu juga sekiranya datang perasaan 'malas', kita disarankan agar menukarkan kepada 'rajin', kerana semakin kerap perkataan 'rajin' disebut kita akan lebih rajin.

Betulkah pernyataan diatas? Betulkah apabila kita menggunakan perkataan 'positif' kita juga akan menjadi positif dalam setiap urusan kita?

Cubalah analisis sendiri berdasarkan pengalaman hidup selama ini. Ini kerana setiap orang memiliki pengalaman yang berbeza-beza, kita tidak boleh menyamakan apa yang kita lalui dengan orang lain.

Bagi saya, semakin saya positif dalam urusan saya, segala urusan dipermudahkan alhamdulillah. Malah kita dapat melepasi sesuatu ujian dengan lebih senang. Kadang-kadang saya susah untuk menerima tips-tips yang disediakan oleh pakar-pakar motivasi, kerana apa yang berlaku kepada saya adalah sebaliknya.

Jadi apakah susah sangat untuk kita menulis? Apakah kita perlukan pelbagai teknik menulis yang tertentu untuk kita mula menulis?

Bila kita menghadiri kursus-kursus menulis, terutama penulisan akademik, kita akan disogok dengan berbagai-bagai cara untuk membantu kita menulis dengan baik. Kita terkongkong dengan tips-tips tersebut, hingga menyebabkan kita melihat penulisan adalah suatu perkara berat untuk kita lakukan.

Kemudian kita mula memikirkan tajuk-tajuk yang agak susah, tajuk yang belum pernah dikaji, sedangkan masyarakat cuma memerlukan asas-asas sahaja.

Malah apabila kita membaca buku-buku yang dijual kepada umum, ia hanyalah perkara-perkara asas yang tidak sepatutnya disusahkan dengan pelbagai konsep tertentu.

Akhirnya apabila kita memerlukan rujukan kita akan kembali kepada buku-buku yang ditulis tentang perkara-perkara asas, sedangkan kita menganggap kajian kita adalah begitu hebat.

Begitu juga dalam penulisan tesis pada peringkat sarjana atau kedoktoran, kita merasakan penulisan tersebut begitu susah, menyebabkan penulisan tersebut tertangguh sedangkan ia hanyalah persepsi kita setelah disogokkan dengan pelbagai methodologi oleh pakar-pakar.

Dalam masa yang sama minda kita diisi dengan maklumat yang negatif tentang menulis tesis, sedangkan realitinya penulisan tersebut adalah lebih kurang dengan penulisan biasa.

Saya masih teringat kisah seorang kawan yang merasakan menulis tesis phd adalah susah, setelah disuarakan kepada supervisor, beliau diberitahu bahawa janganlah menyusahkan diri untuk menulis sedangkan beliau boleh memilih cara yang lebih senang ketika menulis.

Jadi situasi susah untuk menulis penulisan akademik sebenarnya terletak kepada persepsi kita, jika kita merasakan ia susah, ia akan jadi susah, akan tetapi bila kita merasakannya mudah, penulisannya akan menjadi begitu mudah.

Sebenarnya kisah susah untuk menyiapkan tesis, susah untuk lulus viva hanyalah persepsi kita. Mampukah kita melepaskan diri daripada persepsi negatif tersebut serta mula menulis apa yang masyarakat hari ini perlukan.

Mampukah kita menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada umat Islam yang amat dahagakan ilmu-ilmu yang betul, dan berlandaskan kefahaman yang jelas tentang agama kita.

Sudah tiba masanya para pemikir kita terutama pensyarah universiti, memudahkan konsep penulisan dengan mula menulis bahan-bahan yang berguna untuk masyarakat, bukannya menulis perkara-perkara diluar keperluan masyarakat yang hanya menjadi rujukan beberapa orang pelajar sahaja, sedangkan ilmu mereka begitu banyak.

Senangkah kita menukar persepsi tersebut yang telah lama berakar-umbi dalam pemikiran kita? Hanya niat yang jitu mampu membantu kita melakukannya. Moga kita tidak lagi merasakan bahawa menulis itu satu pekerjaan yang susah.

Inilah peringatan buat diri yang masih lagi belum mampu melepaskan diri daripada konsep-konsep penulisan tersebut.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat