Entri Pertama...

Semalam adalah hari wanita sedunia, ada macam-macam cerita dalam akhbar di sini yang menceritakan tentang kejayaan wanita. Memang wanita adalah insan hebat, dan kehebatan wanitalah yang membantu lelaki membina kejayaan dalam hidup mereka. 

Sedar tak sedar dah dekat sepuluh hari berlalu, saya masih belum menulis apa-apa pada bulan ini. Apakah hati sudah mula jemu dengan latihan sebegini, dan mula berkira-kira mencari cara lain untuk meluahkan isihati. Sebenarnya kami makin sibuk dengan program keluarga, setiap minggu ada saja program yang berjaya dijalankan bersama-sama keluarga dan jiran-jiran. 

Bila ditambah dengan keseronokan anak-anak bila mengikuti program sebegini, malah mereka mula bercerita tentang program yang kami jalankan kepada kawan-kawan dan guru, terpaksalah kami lebih giat melakukan program sebegini.

Memang niat kami untuk mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar, agar mereka dapat menghayati keindahan kejadian Allah. Lebih seronok lagi bila melihat anak-anak turut sama solat berjamaah di atas rumput beramai-ramai, moga-moga pengalaman ini akan terus kekal dalam memori mereka. Alhamdulillah.

Minggu lepas kami telah berkunjung ke Oman International Bookfair, kemudian berehat di taman bersama-sama teman hinggalah ke malam hari. Seronok juga bila dapat memilih buku, tambahan lagi buku-buku Arab sangat murah. Jadi itulah kerja baru saya, membaca buku-buku tersebut ketika semangat masih berkobar-kobar. 

Teringat suasana di pesta buku tersebut yang sangat meriah tetapi dalam keadaan terjaga. Memang jauh bezanya daripada suasana di Malaysia. Ini kerana masyarakat di sini masih lagi menjaga tatasusila mereka ketika bersesak-sesak. Malah ada waktu-waktu yang dikhususkan untuk golongan lelaki dan wanita.

Saya berpeluang bertemu dengan seorang penulis Mesir, yang menulis banyak buku daripada pelbagai bidang. Saya kagum melihat kesungguhan beliau menjalankan aktiviti percetakan dan memasarkan sendiri buku-buku hasil tulisan beliau.

Moga-moga kunjungan ke pesta buku sebegini menguatkan lagi semangat saya untuk menulis, walaupun buku-bukuku semuanya dalam bahasa Arab. Insya Allah saya akan berkongsi sesuatu di sini nanti.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman

Tujuan Belajar Khat