Ceramah Agama Lagi...
Alhamdulillah Khamis lepas kami menghadiri ceramah agama lagi disini. Kali ini kuliah disampaikan oleh Yusuf Eates, pendakwah daripada Amerika yang juga bekas paderi kristian disana. Beliau telah memeluk Islam pada tahun 1991.
Alhamdulillah kali ini lebih ramai yang menyertainya termasuklah beberapa orang rakan Malaysia lain. Inilah rezeki berehat-rehat ditaman pada hujung minggu, tak terlepas program yang diadakan disana. Jadi kami dapat berehat dan menambah ilmu dihujung minggu.
Namun begitu, ceramah kali ini agak kurang pengisiannya berbanding ceramah dulu yang agak tersusun penyampaiannya. Kali ini penceramah lebih pandai membuat lawak menyebabkan anak-anak saya yang tak faham turut berminat untuk mendengarnya, malah merekalah yang ketawa lebih daripada orang lain. Alhamdulillah ada hikmahnya tu.
Bukan senang nak memujuk anak-anak untuk menghadiri program sebegini, tambah lagi program yang menggunakan bahasa yang tidak difahami oleh mereka, tapi bila corak penyampaiannya menarik, anak-anak akan lebih berminat untuk mendengarnya lain kali.
Jadi beberapa persoalan timbul apabila menghadiri program sebegini:
1. Betapa hebatnya orang-orang yang memeluk Islam hasil pilihan sendiri, kerana kebanyakan mereka memilih dakwah sebagai cara hidup mereka. Mereka begitu yakin dengan pilihan mereka serta berusaha menyampaikannya kepada insan-insan lain.
2. Betapa kurangnya ulama yang mampu menyampaikan ceramah agama dalam bahasa Inggeris, jika dibandingkan dengan jumlah penganut Islam yang baru memeluk Islam. Begitu juga betapa kurangnya saluran TV agama Islam berbahasa Inggeris jika dibandingkan lebih seratus saluran TV yang mempromosi dakwah Kristian.
3. Situasi umat Islam yang tidak mempamerkan akhlak Islam, boleh kita temui dimana-mana tetapi ia tidak mampu mengurangkan jumlah orang yang berminat dengan agama ini, kenapa? Bayangkan jika umat Islam mampu mempamerkan akhlak yang baik, lebih ramai lagi orang yang berminat untuk memeluk Islam.
4. Kurangnya promosi terhadap program agama sebegini jika dibandingkan dengan promosi terhadap program-program lain , sedangkan ramai yang berminat untuk menghadirinya jika mendapat maklumat lebih awal.
5. Apakah aktiviti keluarga sebegini mampu membuka mata anak-anak kita agar lebih memahami tugas dan tanggungjawab mereka terhadap ummah pada masa hadapan?
Moga-moga masih ada peluang untuk kami menghadiri program sebegini, yang ternyata mampu membantu kami untuk lebih memahami keperluan ummah disekeliling kami. Mudah-mudahan kami lebih bersemangat untuk mendalami bahasa Inggeris, serta menggunakannya sebagai satu medium dakwah disini.
Kadang-kadang terfikir, mengapa setiap kali saya bertekad untuk mendalami bahasa Arab dengan sebaik-baiknya, peluang sebaliknya berlaku. Apakah pengajarannya untuk saya disitu?
Ulasan