Latihan CDPR-1

Alhamdulillah hari ini saya meneruskan latihan yang diberikan dalam kelas CDPR semalam.
Saya masih ingat lagi terapi yang kami lakukan semalam iaitu meneroka ke dalam diri. Kami cuba mengimbas kembali zaman remaja dan kanak-kanak yang telah dilalui tanpa menghukum.
Ya, sekadar mengimbas kembali detik-detik yang telah dilalui ketika itu.
Apa yang saya masih ingat bermula dari darjah 4 saya menjadi tukang tulis buku kedatangan murid-murid. Saya menyalin nama-nama pelajar bagi membantu guru.
Apabila tiba musim peperiksaan saya juga akan membantu guru mengira markah pelajar serta mengatur keputusan pelajar dalam kelas. Saya menulis dengan pensil kemudian guru tersebut akan menyemak hasil kerja saya.
Ketika itu saya begitu fokus dan dapat menyelesaikan tugas dengan baik, alhamdulillah. Saya amat seronok membantu guru sedangkan rakan-rakan lain keluar rehat ataupun bermain-main. Apa yang paling seronok ialah saya dapat mengetahui keputusan peperiksaan sebelum rakan-rakan lain.
Alhamdulillah tugasan tersebut membantu saya lebih cekap menulis dan mengira. Dalam masa yang sama saya menjaga kekemasan dan kebersihan tulisan. Hasilnya ialah saya diumumkan sebagai pelajar terbaik sekolah semasa Darjah Lima.
Alangkah indahnya zaman kanak-kanak, kami bebas berjalan ke sana sini tanpa risau. Apa yang saya ingat saya tidak pernah mengulangkaji pelajaran, kerja sekolahpun sedikit sahaja dan dapat disiapkan dengan cepat.
Saya anak kampung yang sentiasa diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah. Terimakasih kepada guru-guru sekolah rendah yang begitu mengambilberat kebolehan saya.
Selain aktiviti sekolah, saya amat suka berjalan dan meneroka kampung setiap kali habis waktu persekolahan. Jika berjalan kaki, saya akan melalui kebun-kebun dan ladang getah sebelum sampai ke rumah.
Jika hari hujan kami terpaksa mengharung air separas lutut sebelum sampai ke sekolah. Biasanya rakan yang tinggal lebih jauh akan menunggu saya untuk berjalan sama-sama ke sekolah. Jika terlewat ayah akan menghantar dengan motosikalnya.
Kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah keadaan longkang sekolah setiap kali hujan turun akan dipenuhi cacing-cacing yang amat banyak.
Pernah satu kali duit syiling untuk belanja sekolah saya terjatuh ke dalam longkang yang penuh dengan cacing. Nasib baik ada budak lelaki yang berani memasukkan tangan serta mengambil duit tersebut.
Kenangan itu amat indah bila dikenang ketika ini. Meskipun hidup kami susah tetapi saya gembira dan bahagia. Ketika itu saya dan kakak terpaksa membantu ayah ibu kerja di sawah padi dan berkebun setiap kali lepas sekolah.
Bila diingat semula, saya terasa seolah-olah anak lelaki keluarga. Ini kerana saya yang melakukan kerja-kerja berat dalam keluarga, termasuklah memanjat pokok-pokok buah-buahan setiap kali musim buah. Begitu juga membawa guni-guni padi dari sawah ke rumah.
Ada satu kegemaran saya iaitu menanam pokok bunga disekeliling rumah. Ketika itu saya dan rakan akan bertukar-tukar benih pokok dan berbincang tentang cara menanamnya. Alhamdulillah pokok-pokok yang saya tanam selalu hidup subur dan cepat membiak.
Begitu banyak memori muncul diingatan, satu persatu. Alhamdulillah semuanya indah-indah dan kisah kejayaan saya semasa kecil. Mana pergi kisah sedih ya?
Semasa melakukan proses imbasan semula, saya sedar bahawa saya dibesarkan dengan bebas. Saya bebas memilih dan mencuba apa saja, menyanyi, berlakon, bernasyid, bersukan, mewakili sekolah dalam pertandingan kuiz antara sekolah serta pelbagai lagi aktiviti.
Ibubapa saya tidak pernah menyekat apa saja yang saya lakukan. Apa yang penting saya mengikut disiplin mereka. Sememangnya begitu banyak memori muncul satu persatu yang tak mampu dicatat disini. Alangkan indahnya ketika itu.
Kemudian penerokaan ke dalam diri bersambung ke alam remaja...apakah ceritanya?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas