Pengisian Ilmu 2018 - 4

Alhamdulillah kisah pencarian ilmu bersambung lagi. Kali ini bersempena Sambutan Hariraya CVT  di Shah Alam pada 7/7/2018.

Ia kisah perjalanan saya bersama dua orang anak lelaki menyusuri Tasik Shah Alam, singgah di Masjid Shah Alam serta Bilik Pameran Yayasan Restu. Kami bertolak awal pagi ke Shah Alam dengan menaiki komuter. Kemudian menyambung perjalanan dengan menaiki bas percuma Smart Selangor.

Ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur kepada anak-anak. Akan tetapi dua orang lagi keletihan serta enggan mengikuti program kali ini.

Berjalan kaki dari Dataran Shah Alam, kemudian menyusuri Tasik Shah Alam mengingatkan saya nostalgia lama hampir 30 tahun lalu, iaitu pada tahun 1989/90 ketika saya belajar di Matrik UIAM dan tinggal di Asrama Seksyen 8 Shah Alam.

Shah Alam ketika itu yang gersang dan masih baru dibuka, pokok-pokok disekeliling Tasik juga masih kecil. Ketika kunjungan kali ini kebanyakan pokok amat tua dan besar, begitu jauh bezanya. Diri ini juga seumpama pokok-pokok itu, makin berusia.

Ketika berjalan terasa lelah, saya teringat nostalgia mengelilingi tasik bersama-sama rakan sebilik untuk menghabiskan cuti hujung minggu sambil berjalan ke Kompleks PKNS. Kami juga menyusuri Tasik ke Masjid Shah Alam ketika minggu ulangkaji untuk mencari ketenangan sambil membaca buku. Ketika itu tidak terasa letih atau lelah, tenaga muda yang masih kuat dan bersemangat.

Kemudian kami meneruskan perjalanan mencari bangunan Yayasan Restu. Memang Shah Alam sudah jauh berubah. Saya masih ingat kali pertama saya mengikuti program anjuran Yayasan Restu di Sungai Buluh pada tahun 2003. Ketika itu saya terdengar program di radio mengiklankan program menulis khat. Saya terus menghubungi serta menghadiri program dua hari di Yayasan Restu Sungai Buluh.

Dari situ saya mengikuti perkembangan Yayasan Restu sehinggalah mereka berpindah ke bangunan di Shah Alam. Tujuan lawatan kali ini adalah untuk melihat pameran khat sambil menunggu majlis hariraya yang akan bermula pada pukul 2 petang.

Saya kagum dengan perkembangan yayasan ini, serta tertarik dengan hasil tulisan dan karya yang dipamerkan disitu.

Dalam masa yang sama saya sempat bertemu kawan rapat semasa di Oman yang telah berpindah ke Qatar. Alhamdulillah atas kurniaan ini, semoga ukhwah terjalin erat.

Selepas menunaikan solat zohor kami meneruskan misi menghadiri majlis ilmu cvt yang telah saya tinggalkan sejak berpindah ke Oman. Alhamdulillah saya sempat mendengar perkongsian pengasasnya iaitu Prof Norhisham Wahab.

Selepas tamat majlis ilmu kami menjamu selera dengan makanan tradisi yang pelbagai jenis. Saya juga berpeluang bertemu rakan-rakan lama yang selama ini hanya berhubung melalui telefon dan whatsapp.

Alhamdulillah saya sempat bertemu Kak Ros, pengamal cvt pertama merawat saya dengan hidroterapi ais pada tahun 2003. Rawatan ini yang berjaya memulihkan semula masalah stress yang melampau yang saya alami ketika itu sehingga akhirnya saya berjaya menghabiskan kajian phd saya.
Beliau juga yang memperkenalkan saya dengan ilmu perawatan cvt.

Saya masih ingat kenangan menjalani terapi hidroterapi dipusat rawatan beliau di Sri Gombak. Ketika itu saya mengalami masalah blank, tidak dapat mengingati maklumat yang dibaca, juga terlalu stress selepas empat kali melahirkan anak berturut-turut. Saya tidak dapat meneruskan penulisan tesis dan amat tertekan dengan pelbagai masalah.

Alhamdulillah setelah melakukan terapi hidroterapi ais selama tiga hari berturut-turut dan mengambil beberapa formula NW keadaan saya semakin pulih Selepas itu saya bertemu doktor pakar psikiatri di HUKM beberapa kali untuk formaliti, beliau memberitahu bahawa saya boleh mengawal diri dan tidak perlukan ubat penenang.

Alhamdulillah banyak perkongsian berguna yang saya perolehi ketika bertemu rakan-rakan lama dan baru. Didalam majlis hariraya ini juga saya berkesempatan bertemu dengan Coach Nora Zyan yang saya ikuti di FB. Dan cerita ini akan bersambung lagi...





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas