Tasik Garam di Tunisia

Alhamdulillah...Pagi ini saya cuba mencatat kenangan percutian tahun ini. 2016 semakin berakhir, namun kenangan yang dikutip akan tetap segar dalam ingatan.


Tahun ini giliran kami balik ke Tunisia. Alhamdulillah. Kami mengambil peluang untuk melawat beberapa tempat menarik disana.

Apa yang menarik perhatian saya ialah tasik-tasik garam yang boleh ditemui dibeberapa tempat yang kami kunjungi. Subhanallah pemandangan tasik garam begitu menarik perhatian saya. Ada keindahan yang tersendiri.

Alhamdulillah kali ini kami berpeluang untuk menghabiskan cuti di apartment yang berhampiran tasik garam di Hergla.

Saya masih teringat perasaan seronok apabila melihat tasik berwarna putih dalam perjalanan ke apartment itu. Saya makin teruja bila melihat rumah kami begitu dekat dengan tasik tersebut. Manakala disebelah depan apartment terdapat pemandangan pantai yang indah. Pelbagai rancangan hinggap difikiran saya, mahu menghabiskan cuti berendam didalam tasik garam.

Namun begitu angan-angan tinggal angan-angan. Kami hanya mampu menjejaki kaki serta bergambar di tasik itu hanya beberapa hari sebelum balik ke Oman semula. Selebihnya hanya melihat dari jauh setiap kali melintasi kawasan tersebut.

Tasik garam disebut "Sebkha", boleh didapati dikebanyakan tempat yang kami lawati. Ketika kami dalam perjalanan ķe AlJem Amphiteatre di Al Mahdiah, saya terlihat tasik garam yang begitu luas terbentang disebelah highway yang kami lalui. Saya begitu teruja untuk melawat tasik tersebut, tetapi apabila kami menghampiri kawasan tersebut, kami gagal mencari jalan masuk ke situ.

Akhirnya kami sampai ke satu bandar kecil, dan mendapat pengalaman berbeza. Disitu kami berputar-putar mencari masjid untuk solat zohor. Masjid lama yang ada ditutup, manakala masjid baru ditutup kerana undang-undang baru disana yang membenarkan masjid dibuka pada waktu solat sahaja.

Alhamdulillah ada seorang pemuda membantu membuka pintu masjid dari belakang, jadi kami dapat bersolat disitu. Akan tetapi kami tidak bernasib baik apabila pengawal masjid tiba serta memarahi saya serta menolak saya keluar daripada masjid itu. Saya amat terkejut dengan tindakan pengawal itu, terus keluar. Dalam masa yang sama menunggu anak perempuan yang masih solat didalam masjid dengan perasaan risau.

Kami cuba berfikir positif atas apa yang berlaku serta meneruskan perjalanan ke AlJem, satu peninggalan sejarah yang terkenal di Tunisia. Suami saya berseloroh dengan saya "tu la...cari la lagi tasik garam, sedangkan tasik sebelah rumah belum pergi tengok dari dekat."

Ketika membaca maklumat mengenai Tunisia saya ada terbaca tentang tasik garam terbesar didunia juga ada disana. Dimanakah tasik tersebut?

Apa yang menarik tentang tasik garam ialah warnanya begitu putih jika dilihat dari jauh tetapi apabila didekati ia jauh berbeza. Ketika saya sampai ditepi tasik garam berdekatan rumah kami, saya tidak mampu berjalan jauh ke tengah tasik, kerana selut hitam melekat dikaki.

Apa yang seronok ialah selepas puas berjalan ditepi tasik itu, kulit kaki menjadi amat bersih dan lembut. Manakala suasana di kawasan tasik begitu tenang dan sunyi. Saya dan anak-anak begiu seronok berada disitu, tetapi kecewa kerana tidak sampai ke kawasan yang ada air. Insya Allah kami akan cuba lagi suatu ketika nanti, sekiranya kami berpeluang ke sana.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas