Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia

Alhamdulillah hari ini 18/12 ialah hari sambutan bahasa Arab sedunia. Setiap tahun sekolah-sekolah disini mengadakan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan pelajar-pelajar menggunakan bahasa Arab fushah.

Alhamdulillah saya juga berkesempatan untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Biasanya saya dijemput untuk mengendalikan bengkel seni khat yang diadakan bersempena sambutan ini.

Ketika anak perempuan saya masih bersekolah, saya dijemput untuk mengendalikan bengkel disekolah beliau. Kemudian dijemput pula ke sekolah lain

Alhamdulillah pagi ini sekali lagi saya berpeluang untuk berkongsi kemahiran ini di sebuah sekolah menengah perempuan di Amerat, yang terletak dikawasan perkampungan awal disitu.

Sudah dua tahun perancangan bengkel tertangguh kerana sekolah yang menjemput tidak dapat menyediakan pengangkutan untuk kesana. Ini kerana guru yang menjemput mengajar agak jauh dari bandar Muscat.

Tahun ini Cikgu tersebut berpindah ke sekolah baru, dan meneruskan perancangan beliau di sekolah baru beliau.

Alhamdulillah berkat keazaman beliau yang tinggi, Allah permudahkan urusan kami hari ini. Itulah ketentuan Allah kepada saya hari ini.

Saya masih ingat pada tahun lepas beliau bertanyakan tentang khattat perempuan yang boleh berkongsi ilmu dengan pelajar perempuan.

Alhamdulillah saya seronok berkongsi kemahiran menulis, dan berpeluang mempraktikkan bahasa Arab, satu peluang yang jarang-jarang hadir dalam hidup saya.

Saya teringat pula kata-kata mudirah sekolah kepada saya hari ini "program hari ini satu kelainan kerana saya bukan orang Arab yang akan mengajar cara menulis huruf Arab".

Manakala soalan yang selalu saya dengar setiap kali menghadiri apa-apa program disini ialah "kenapa tak cuba cari kerja disini?". Soalan itu biasanya saya sambut dengan senyuman... Ada sesuatu yang tak mampu dijelaskan.

Semoga saya makin jelas dengan misi yang ingin dibawa selepas ini. Setiap yang berlaku bukan sia-sia. Bila seorang wanita terpelajar berada dirumah ia tidak semudah yang anda fikirkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas