Peringatan Allah

Ketika umat Islam dinegara-negara Arab sibuk berdemonstrasi menuntut keadilan, kebebasan serta hak-hak mereka, penduduk negara bukan Islam mendapat ujian alam.

Apa yang jelas dilihat ialah keadaan tidak tenang berlaku dimana-mana, sama ada hasil perbuatan manusia ataupun musibah daripada Allah swt.

Ketika penduduk Tunisia sibuk menuntut hak mereka, penduduk-penduduk Brazil mengalami banjir serta tanah runtuh yang menyebabkan beratus-ratus kematian. Namun begitu ia tidak mampu menyedarkan umat Islam kerana tumpuan kita kepada apa yang berlaku di Tunisia.

Sewaktu umat Islam Mesir berhimpun menuntut keadilan pula, gegaran gempabumi berlaku di New Zealand, juga telah menyebabkan kerosakan besar berlaku serta banyak kes kematian dilaporkan.

Itulah peringatan daripada Allah swt kepada umat Islam, agar mengambil pengajaran daripada bencana alam, serta jangan melakukan kerosakan dibumi ini.

Namun begitu bencana alam kali ini juga dipandang mudah, serta tidak memberi apa-apa kesan.

Minggu ini pula penduduk dunia diberi peringatan sekali lagi dengan kejadian gempabumi serta tsunami yang kuat melanda negara Jepun. Kesannya begitu teruk serta berlaku kebocoran di reaktor nuklear disana.

Maka tahulah kita bahawa negara-negara maju bersatu menyerang Iraq, kemudian ingin menyerang Iran disebabkan mereka cuba memiliki teknologi nuklear, tetapi teknologi nuklear yang dimiliki mereka lebih besar dan kuat daripada apa yang cuba diusahakan oleh negara-negara Islam.

Apa yang terjadi di Jepun mengambarkan kepada kita bila bencana alam serta perbuatan buruk manusia dilakukan serentak, hasilnya mampu menghancurkan alam ini.

Dalam masa yang sama umat Islam Libya berperang dengan pemerintah mereka, dimana begitu ramai penduduk yang tidak berdosa telah terkorban. Muammar Ghadafi dengan angkuhnya berkata 'penduduk Libya menyayangi saya serta menerima saya sebagai pemimpin mereka.'

Penduduk di Yaman juga masih kuat menuntut agar pemerintah mereka meletak jawatan, begitu juga penduduk Bahrain masih belum reda serta meneruskan tuntutan mereka.

Apakah bencana alam yang berlaku serentak dengan tuntutan umat Islam di negara-negara Arab menggambarkan 'peringatan Allah' kepada kita? Apakah kita tidak ingin mengambil pengajaran dari situ? Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016