40 tahun....dimanakah kita?

Bismillah...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih mampu bernafas di bumi ini, serta masih mampu berkongsi sesuatu di blog ini.
 
Bermacam-macam soalan bermain difikiran, yang mana satu nak didahulukan, mana satu yang lebih penting? Apakah yang telah aku lakukan selama ini yang dapat memberi manfaat kepada insan lain?
 
Bila mengaji quran, terbaca ayat 15 surah al-ahqaf yang bermaksud
"Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibubapanya, ibunya yang mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah pula. Mengandungnya sampai bercerai susu adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun dia berdoa, " Ya Tuhan-Ku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku dapat berbuat amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak-anakku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."
 
Itulah ringkasan perjalanan hidup kita dialam ini. Allah swt mengulanginya beberapa kali didalam al-quran agar kita sentiasa mengingati kisah kejadian kita, serta insan yang memainkan peranan penting selama ini.
 
Perkara pertama ialah perintah agar kita berbuat baik kepada kedua ibubapa kita, kerana membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, hingga kita menjadi siapa kita pada hari ini.
 
Begitu juga kesusahan ibu yang mengandung, melahirkan serta menyusukan kita sehinggalah kita melangkah ke alam dewasa. Seterusnya kita mengulangi perjalanan mereka dengan membina keluarga sendiri serta memiliki anak-anak. Kitaran ini akan terus berlangsung hinggalah berakhirnya dunia ini.
 
Perkara kedua yang disebutkan ialah ketika manusia berumur 40 tahun dia akan berdoa sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat ini, iaitu doakan kebaikan kepada kedua ibubapa kita, diri sendiri dan anak-anak kita, manakal bahagian akhir doa ini menyebutkan tentang taubat dan penyerahan diri kita kepada Allah swt.
 
Begitulah gambaran hidup insan yang ditunjukkan oleh Allah swt...moga perjalanan hidup kita tidak terpesong ke arah lain.
 
Terasa betapa pentingnya kehidupan selepas 40 tahun bila Allah swt menyebutkannya di dalam ayat ini. Apakah yang kita kejar ketika ini terutamanya surirumah.
 
Jika kita berada dirumah ketika anak-anak masih kecil serta memerlukan perhatian kita, ketika kita berumur 40 tahun biasanya anak-anak sudah mula menjejaki kaki ke peringkat pengajian menengah dan tinggi, jadi apakah yang akan kita buat ketika itu? Mungkin kita jarang memikirkan tentang apakah perjalanan masa depan kita nanti.
 
Biasanya apabila kita mula memasuki umur 40 tahun, ibubapa kita akan semakin tua, maka seharusnya lah kita berbuat baik dengan mereka, carilah masa untuk menjenguk serta menjaga mereka. Subhanallah...cantiknya pusingan hidup yang diaturkan oleh Allah swt kepada manusia.

Mampukah kita untuk melaksanakan tugasan ini, jika kita masih sibuk bekerja diluar rumah? Jadi bersyukurlah insan-insan yang memilih untuk berada dirumah, ada ruang untuk kita melakukan kebaikan untuk insan-insan yang kita sayangi selagi kita ingin melakukannya.
 
Bila meneliti sirah Rasulullah saw, menjelang umur baginda 40 tahun, baginda mula mengasingkan diri serta berfikir tentang kejadian alam ini, hinggalah baginda menerima wahyu pertama dalam usia ini, serta memulakan usaha-usaha dakwah baginda.
 
Apakah kita juga mampu mengambil inspirasi daripada kehidupan baginda, serta mula mencari masa untuk mengatur usaha-usaha dakwah kita, yang mungkin tertangguh selama ini. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menggunakan masa kita sebaik-baiknya. 
 
 
 
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas