Kahwin dengan Orang Arab - Cabaran Bahasa

Alhamdulillah hari ini tergerak untuk berkongsi sedikit pengalaman hidup setelah genap 16 tahun melayari hidup bersama suami semalam 12/12/13.

Saya masih ingat pernyataan seorang rakan dari Jordan, "bagaimana satu pasangan mampu memahami satu sama lain, sedangkan bahasa yang digunakan begitu jauh berbeza? " Apakah yang boleh menyatukan hati dua insan yang datang dari latar belakang yang terlalu jauh bezanya?

Kata-kata beliau ada benarnya, dan saya akui itulah masalah terbesar yang saya alami sehingga kini.

Perkahwinan bukan hanya penyatuan dua jasad tetapi dua hati untuk saling mampu berkongsi cerita suka duka sepanjang tempoh perkahwinan tersebut.

Jika dua hati mampu berbicara tanpa mengeluarkan kata -kata alangkah indahnya hidup ini. Realitinya kita memerlukan perkataan-perkataan yang akan diolah menjadi ayat-ayat indah untuk menenangkan hati si pendengar.

Semuanya itu terhasil dari "lidah bonda", perkataan-perkataan yang pertama didengar akan meresap ke dalam jiwa. Ayat-ayat yang diajar melekat kemas dalam hati anak-anak sehinggalah dewasa.

Bila kita berkahwin dengan insan yang menggunakan bahasa yang berbeza, setiap kata amat sukar untuk sampai ke sudut hati yang paling dalam.

Ia seolah-olah berbicara sekadar dipermukaan sahaja. Apa yang betul-betul mengikat hati hanyalah kasih sayang. Mana mungkin kasih sayang akan berkembang tanpa komunikasi yang berterusan.

Itulah cabaran bila kita memilih untuk berkongsi hidup dengan insan yang berlainan bahasa dan adat budaya.

Persoalannya mampukah kita meneruskan kehidupan dengan komunikasi yang makin lama makin berkurang?

Mungkin ketika awal berkahwin kita tidak memikirkan cabaran-cabaran ini, ketika itu semuanya manis. Makin lama masa berlalu perasan untuk berkomunikasi dalam bahasa sendiri mula datang, ada kekosongan yang tidak dapat diisi oleh sesiapapun. Ini adalah apa yang saya rasa, mungkin juga insan lain tidak merasainya.

Cabaran diawal perkahwinan adalah untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan menggunakan bahasa ketiga, bukan bahasa saya juga bukan bahasa si dia. Kedua-dua pihak memilih untuk berlaku adil, tetapi realitinya kami melarikan diri daripada kehendak hati.

Betullah pendapat rakan tersebut bila menceritakan kisah bapa saudara beliau menentang bila ada lelaki luar meluahkan hati ingin menyunting beliau. Walaupun mereka sesama Arab tetapi menggunakan dialek yang berbeza kerana berlainan negara. Itu hanyalah perbezaan dialek, tetapi kami berbeza bahasa, adat dan budaya.

Cabaran hidup berdua akan berkembang bila memiliki anak-anak, bahasa apakah yang akan menjadi bahasa pertama anak-anak? Apakah bahasa asing ataupun bahasa ibubapa?

Bahasa Jiwa Bangsa...apalah maknanya jika kita memilih untuk bertutur bukan bahasa bangsa kita, juga bukan bahasa si dia? Anak-anak keliru untuk memilih mana satu yang perlu mereka utamakan?

Apakah pula perancangan hidup bersama sepuluh, dua puluh, tiga puluh tahun ke hadapan dan seterusnya selagi ikatan tersebut mampu dipertahankan?

Apakah pula persediaan kita untuk hidup dalam masyarakat suami? Apakah kita mampu menggunakan masa untuk mendalami bahasa si dia? Jika kita tidak mampu bagaimana untuk hidup bersama-sama mereka.

Ya, perbezaan bahasa pada mulanya teramat kecil tetapi akhirnya ia menjadi cabaran yang amat besar, hingga kadang-kadang ia mengugat ikatan kasih sayang dalam keluarga yang kita bina.

Mungkin betullah tindakan ramai yang berkahwin antara bangsa memilih untuk membina hidup di negara ketiga, jauh daripada kedua-dua bahasa. Akan tetapi sampai bila kita mampu bertahan berada jauh dari insan-insan tersayang?

Bila bercerita sebegini saya merasakan pandangan saya begitu negatif terhadap hidup saya, tetapi itulah realiti yang saya cuba lari serta tidak pernah terfikir suatu ketika dulu.

Moga ia menjadi panduan buat insan yang sedang menimbangkan untuk berkahwin dengan insan dari bahasa, adat dan budaya yang berbeza.

Bagi yang sedang melaluinya, mohonlah kekuatan dari DIA, berdoalah agar Allah memberi kekuatan untuk kita lepasi ujian dan cabaran ini serta meneguhkan ikatan perkahwinan kita. Amiin.

Ulasan

Zd_BSB berkata…
Puan, saya bercadang hijrah ke Muscart utk bekerja dgn PDO.

saya cuma mahu bertanya, adakah mudah utk mendapatakan guru guru mengaji Alquran utk anak anak saya ?
saya bukanlah guru yg bagus utk mengajar AlQuran.
aliza berkata…
Waalaikumussalam. Insya Allah ada, ramai yang boleh mengajar Quran serta menyediakan khidmat tersebut dengan sedikit bayaran.
Selamat datang ke Muscat.e
Tanpa Nama berkata…
Ya, memang mencabar.. sy berkahwin dengan orang Gaza, Palestine

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas