Anti Hadis Kembali Bersuara

Alhamdulillah dipermudahkan oleh Allah untuk saya menulis disini lagi.

Bulan lepas ramai kawan-kawan fb di Malaysia berkongsi tentang Seminar Pemikiran Kassim Ahmad. Pelbagai reaksi masyarakat disana boleh saya rasa bila membaca komen-komen yang dilontarkan.

Semakin hari rakyat semakin pening, pelbagai isu berbangkit berkaitan aqidah muncul. Jika sebelum ini sibuk dengan isu Syiah, kalimah Allah sekarang perbincangan tentang kumpulan anti hadis atau quraniyyun.

Teringat ketika zaman belajar dulu, saya sempat belajar mengenai golongan anti hadis, jadi saya sempat menelaah beberapa buku tulisan Kassim Ahmad, walaupun ia telah diharamkan.

Buku "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan kepada Pengkritik", dibaca dan cuba difahami. Kemudian saya mencari tulisan lain yang menjelaskan kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh Kassim Ahmad.

Beliau cuba menafikan bahawa beliau menolak hadis sebagai hujah, tetapi isu yang ditimbulkan adalah sama dengan hujah yang digunakan oleh para orientalist dan golongan quraniyyun ditempat lain.

Hujah utama golongan inilah hadis dikumpulkan terlalu lewat, yang mana kelewatan dalam pengumpulan hadis menyebabkan ia dipertikaikan kesahihannya.

Sebenarnya jika mereka betul-betul mengkaji sejarah pengumpulan hadis, mereka tidak akan menimbulkan isu ini. Tambahan lagi bila kita meneliti ilmu yang disusun berkaitan dengan pengumpulan hadis ini, kita seharusnya akur bahawa ulama silam begitu menjaga tata tertib dan menggunakan kaedah yang jelas ketika menyusun buku-buku hadis yang sampai kepada kita hari ini.

Sebagai seorang muslim, kita seharusnya faham bahawa kita tidak boleh lari daripada sunnah, itulah cara dan jalan yang ditunjukkan kepada kita oleh Rasulullah saw dalam kita melayari kehidupan dialam ini.

Bagi saya, tuduhan terbaru Kassim Ahmad, iaitu umat Islam mendewakan Nabi Muhammad saw serta menggunakannya dalam syahadah adalah salah dari segi aqidah.

Apakah Kassim Ahmad lupa bahawa ramai yang kafir pada zaman baginda Rasulullah saw adalah kerana mereka menolak untuk mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw, termasuklah bapa saudara baginda sendiri.

Sehebat manapun kita hidup didunia ini; kita memerlukan panduan hidup daripada Pesuruh Allah. Jika kita mampu mengikut sepenuhnya sunnah yang ditinggalkan oleh baginda, alangkah bahagianya hidup kita. 

Ini kerana manusia diciptakan lemah, aqal kita tidak mampu menjelaskan semua perkara, ada ketika kita memerlukan panduan dari langit untuk melepasi ujian yang kita hadapi.

Bak anak kecil yang dilahirkan tidak mengetahui apa-apa, jika mereka membesar hanya berpandukan aqal dan fitrah mereka, satu ketika mereka akan tercari-cari insan yang mampu memandu mereka ke jalan yang lurus.

Mereka akan sampai kepada kesimpulan bahawa alam ini ditadbirkan oleh satu kuasa, tetapi apakah kuasa itu? Hanya al quran dan sunnah yang mampu memberi penjelasan yang lengkap mengenainya.

Moga kita tergolong ke dalam golongan yang mencintai serta menghidupkan sunnah baginda. Amiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas