Kenangan Manis 2015

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana terbuka hati untuk mencatat sesuatu disini sebagai penutup tahun 2015.

Alhamdulillah syukur kerana diberi peluang untuk merasai kemanisan hidup diperantauan, serta diberi kekuatan menghadapi segala ujian hidup.

Kita yang mengatur aktiviti seharian kita, Manis atau pahit anggaplah ia sebahagian daripada pengalaman merantau. Insya Allah kita akan sentiasa merasa bahagia.

2015 tahun kami mengukuhkan ikatan sekeluarga, tiada aktiviti berkhemah dengan rakan senegara. Alhamdulillah ia mampu meninggalkan kenangan manis dengan cara kami.

2015 sekali lagi kami mampu menghabiskan cuti musim panas ditanahair. Alhamdulillah ketika menjejaki kaki di KLIA saya berpeluang bertemu sahabat lama yang hampir 26 tahun tidak bertemu.

Kenangan paling manis bila menaiki pesawat AirAsia yang sama dengan Cikgu Ismail, guru yang bertanggungjawab menguruskan pengangkutan ketika saya Dan rakan-rakan MMP yang mendapat tawaran ke Pusat Matrikulasi UIA tahun 1989 dulu. Beliau juga yang tidak jemu memberi semangat kepada kami untuk belajar ketika datang menziarahi kami di Matrik UIA.

Alhamdulillah syukur kerana masih berpeluang berpuasa sebulan bersama-sama ibubapa yang sudah berusia.

Alhamdulillah syukur kerana berpeluang mengutip kenangan, melayan kerenah ibubapa yang amat berbeza daripada dulu. Syukur juga kerana mampu menjadi pendengar keluhan mereka ketika orang lain sibuk dengan kerjaya mereka.

Alhamdulillah syukur juga bila sempat bertemu dan mendengar nasihat yang begitu berharga daripada Ustaz Abdullah Abdul Razak semasa belajar di MMP dulu. Begitu juga rezeki untuk bertemu Ustazah Saadiah yang mengajar agama semasa sekolah rendah dulu.

Apabila kembali ke Oman, diberi kesempatan untuk berkenalan dengan adik-adik UIA yang mengikuti program pertukaran pelajar disini.

Seterusnya pada akhir bulan November berkesempatan berkenalan dengan pelajar-pelajar UPSI yang juga mengikuti program pertukaran pelajar disini. Moga adik-adik tersebut mampu mempraktikkan segala ilmu yang dikutip disini.

Kenangan paling manis apabila sahabat lama, Mahani Dan suami singgah disini ketika dalam perjalanan menunaikam umrah. Sememangnya peluang ini begitu bermakna buat perantau seperti saya, alhamdulillah.

Disamping itu, pada tahun ini juga saya memberanikan diri mula berniaga, mempromosi ilmu CVT yang dipelajari 12 tahun dahulu, dengan niat untuk membantu sahabat-sahabat menyelesaikan masalah kesihatan. Alhamdulillah akhirnya saya beroleh kekuatan untuk mengamalkan ilmu yang pernah dipelajari.

Dalam masa yang sama saya Cuba menghidupkan bakat lama menulis khat dengan mengajar beberapa orang rakan yang berminat. Kemudian diberi peluang untuk mengendalikan bengkel seni khat disebuah sekolah yang berdekatan.

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Moga Allah memberi kekuatan untuk saya meneruskan usaha yang telah dimulakan ini. Moga tahun 2016 lebih hebat.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman