Peraturan Sendiri

Alhamdulillah...hari ini saja nak berkongsi satu situasi yang saya tempuhi ketika membuat pembayaran di Lulu Hypermarket pada hujung minggu lepas.

Saya suka berbelanja barangan dapur pada waktu pagi setiap kali hujung minggu. Ini kerana bilangan pengunjung tidak begitu ramai dan ada promosi barangan dapur dan buah-buahan setiap kali hujung minggu.

Memandangkan sekarang ini masih di penghujung musim panas, harga sayur-sayuran dan buah-buahan lebih tinggi daripada biasa. Itulah kejutan yang biasa kami hadapi setiap kali pulang daripada bercuti.

Sebenarnya itu bukan isu yang ingin diceritakan. Hanya sekadar memberi gambaran keadaan di Oman ketika ini.

Cerita yang saya ingin kongsikan adalah peristiwa yang berlaku ketika saya beratur untuk membayar barangan yang dibeli. Ketika itu agak ramai pelanggan yang juga ingin membayar barangan mereka.

Jadi saya memilih kaunter hujung sekali, yang mana orang yang beratur hanya membeli beberapa barang sahaja. Ketika itu troli saya agak penuh.

Tiba-tiba datang seorang wanita Filipina melintas saya, kemudian memberitahu bahawa kaunter itu untuk orang yang membeli kurang daripada 5 barang. Dia menyuruh saya berpindah ke kaunter lain serta berkata, kalau saya terus beratur, saya akan disuruh berpindah ke kaunter lain.

Saya terkejut dan menjawab bahawa kaunter itu bukan seperti yang dia faham, serta terus menuju ke depan dan bertanya pekerja yang bertugas disitu. Alhamdulillah, saya berada pada tempat yang betul.

Pada masa yang sama ada beberapa orang lagi pelanggan wanita Filipina ingin memotong barisan dengan muka yang agak marah. Pada tanggapan mereka, saya telah melanggar peraturan yang 'mereka' cipta dalam fikiran mereka.

Saya terfikir, betapa mudah manusia mencipta peraturan sendiri kemudian ingin menerapkan kepada orang lain. Dalam masa yang sama menunjukkan rasa tidak puashati bila ada orang yang tidak mengikut peraturan mereka.

Mereka tidak sedar bahawa pihak pengurusan telah menyediakan kaunter yang mereka kehendaki, iaitu kaunter khusus untuk pelanggan yang membeli barangan dalam jumlah yang sedikit hujung sebelah lagi.

Begitulah yang berlaku dalam kehidupan kita setiap hari. Kita mencipta pelbagai peraturan yang kita anggap sesuai untuk orangramai, ia diterapkan tanpa difahami oleh orang lain. Bila ada orang menolak peraturan tersebut, kita akan marah-marah.

Begitulah hidup ini, belajarlah meneliti dahulu keadaan disekeliling kita sebelum pandai-pandai mencipta sesuatu peraturan baru, agar kita tidak mudah menyalahkan orang lain.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016