Perjalanan di Rantauan

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana masih lagi mampu berkongsi fikiran disini.

Alhamdulillah sekali lagi atas nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah kepada kami sekeluarga diperantauan.

Sesungguhnya kita merancang tetapi perancangan Allah swt begitu cantik dan terbaik untuk kami.

Bayangkan perancangan kami hanya ingin tinggal di Oman selama tiga tahun. Ya tempoh cuti tanpa gaji yang dibenarkan kepada staf UIAM. Itulah yang diberitahu kepada saya sebelum kami ke sini.

Bagi kami tiga tahun cukup untuk kami sekeluarga mempraktikkan bahasa Arab, dan anak-anak kembali mengikuti sistem pembelajaran di tanahair.

Ketika bahagian kelulusan cuti tamat, iaitu setahun setengah berada disini, tiba-tiba saya diberitahu bahawa cuti tanpa gaji tidak boleh disambung dan saya mesti kembali bertugas semula.

Apa yang kami dapat disini dalam tempoh setahun setengah belum cukup. Anak-anak masih terlalu kecil untuk hidup berjauhan daripada bapa. Bagi saya anak-anak lelaki mesti dididik oleh bapa, bukannya ibu. Jadi saya memilih untuk meninggalkan kerja di UIA untuk masa depan anak-anak.

Apakah saya sengaja meninggalkan kerjaya saya? Apakah saya redha untuk berada dirumah?

Setiap satu pilihan ada ujiannya. Bila saya memilih untuk meninggalkan kerjaya saya, ini bermakna saya bersedia untuk membayar denda kepada UIAM kerana tidak mampu memenuhi kontrak pengajian yang ditandatangani ketika menyambung belajar dahulu. Seterusnya saya mesti redha meneruskan kehidupan tanpa pendapatan sendiri.

Jika saya memilih untuk kembali bekerja di Malaysia, ujian yang lebih besar menanti. Ya, ujian membesarkan anak-anak seorang diri, menguruskan kehidupan dengan empat orang anak kecil dan kerjaya.

Ya..saya memilih untuk fokus kepada masa depan anak-anak. Alhamdulillah saya telah berjaya melalui sebahagian besar hidup saya, serta berjaya mengutip pelbagai pengalaman hidup dengan baik. Meskipun saya tidak pernah merancang kehidupan saya tetapi aturan Allah swt amat cantik dan tersusun.

Kini saya ingin memberi peluang kepada anak-anak saya mengumpul pengalaman hidup mereka. Semoga kenangan mereka positif dan begitu manis untuk dikenang bila mereka dewasa.

Semestinya corak kehidupan masa kecil mereka amat jauh berbeza daripada kehidupan masa kecil saya. Ya, mereka amat perlukan sokongan ibubapa untuk menjalani kehidupan ini.

Untuk memenuhi impian mereka, salah seorang mesti berkorban. Bagi saya, tugas mencari nafkah adalah  tugas suami, jadi dia yang akan bekerja, serta memastikan keperluan keluarga dipenuhi.  Saya rela mengundur diri serta berkhidmat untuk keluarga.

Semoga Allah memberkati kehidupan kami sekeluarga dan anak-anak berjaya dalam kehidupan mereka. Aamiin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman