2017 Penuh Kenangan

Alhamdulillah kita melangkah ke tahun baru 2018, meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis sepanjang tahun 2017. Semoga tahun baru bakal menjadi tahun yang lebih baik daripada yang lepas.

Bila diimbas semula tahun yang berlalu, banyaknya nikmat yang telah dilalui, walaupun hati selalu terasa gelisah ketika menghadapi ujian. Sesungguhnya Allah swt amat mengasihi hamba-Nya, Rahmat-Nya mengatasi segalanya.

Bila masa berlalu barulah kita menghargai segala nikmat tersebut. Ya...begitu banyak nikmat yang seharusnya kita syukuri setiap saat. Alhamdulillah.

Begitu banyak kenangan manis sepanjang tahun. 2017 mengajar diri ini agar lebih konsisten menjaga kesihatan diri, menjaga hubungan dengan insan sekeliling juga menjaga hubungan baik dengan alam sekitar.

Sebahagian pertama 2017 dipenuhi aktiviti riadah. Terimakasih kepada rakan yang begitu mengambilberat tentang diri ini.

Kemudian berpeluang menghabiskan cuti ditanahair bersama ibu ayah, sanak saudara dan sahabat-sahabat yang dekat dihati ini.

Alhamdulillah berjaya mengadakan aktiviti berkumpul dengan rakan MMP sebanyak enam kali sepanjang cuti kali ini. Sesungguhnya ikatan ukhwah kita begitu indah. Semoga Allah memberkatinya serta merahmati kami.

Dalam masa yang sama kami banyak menghabiskan masa mengunjungi anak saudara yang beberapa kali menghuni wad di HUSM sepanjang cuti kali ini. Alhamdulillah sekarang agak sihat dan sudah dapat melakukan aktiviti seperti biasa. Semoga Allah swt mengurniakan kesihatan yang berpanjangan buatmu kak long.

Apa yang lebih indah, pertemuan semula dengan suami di Airport Dubai sebelum kami sama-sama menaiki kapalterbang yang sama ke Muscat. Seorang dari sebelah Barat dan lima orang lagi dari sebelah Timur bertemu dipertengahan jalan sebelum bersatu semula. Alhamdulillah ala kulli hal.

Saya masih teringat saat itu, anak-anak begitu teruja untuk bertemu ayah mereka setelah berpisah lebih dua bulan. Dua orang berpusing-pusing mencari kelibat ayahanda mereka di airport, berjalan dari hujung ke hujung terminal, sedangkan saya hanya menunggu di gate berlepas.

Semestinya orang yang menunggu ditempat yang betul akan bertemu terlebih dulu. Selepas puas berpusing anak-anak kembali ke gate menunggu dan mendapati ayahanda mereka sudah sampai disitu. Alhamdulillah ia menjadi kenangan manis buat kami sekeluarga.

Kembali ke Oman dengan pelbagai kenangan percutian, kami disibukkan dengan persediaan untuk berpindah ke rumah baru yang lebih sesuai. Alhamdulillah selepas 10 hari kembali ke Muscat, kami berpindah ke rumah baru yang lebih selesa.

Apabila sesi persekolahan baru bermula, aktiviti harian saya bermula seperti biasa. Kesibukan pada awal pagi, lebih tenang selepas itu. Akan tetapi bahagian kedua 2017 lebih perlahan, tiada lagi aktiviti luar selain program hujung minggu.

Alhamdulillah kali ini kami lebih fokus untuk menghabiskan masa dengan rakan-rakan berlainan negara, iaitu keluarga rakan sekerja suami. Semoga kami mampu mengumpul pengalaman yang berbeza pada tahun ini dan ukhwah kami berpanjangan.

Kadangkala kita perlu menerima hakikat bukan semua kehendak kita baik untuk masa depan.

Bila mengimbas semula apa yang berlaku sepanjang 12 tahun berada di Oman, saya redha menerima hakikat bentuk ukhwah yang perlu saya jalinkan dengan masyarakat disini. Semoga saya mampu melakukannya dengan ikhlas mulai tahun ini, serta beroleh ketenangan.

Semoga tahun 2018 ini akan membawa pelbagai kebaikan, mengumpul pelbagai kenangan manis buat kami sekeluarga diperantauan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pendidikan di Oman

Kesan Perang Gaza

Kahwin dengan Orang Arab