Balik Kampung November 2019

Alhamdulillah saya sempat meluangkan masa untuk balik kampung serta menghabiskan masa bersama kedua orang tua. Saya mengambil peluang ketika berada ditanahair untuk menghabiskan masa bersama mereka, semoga saya masih berpeluang untuk berbakti kepada keduanya.

Kebetulan dua orang anak lelaki juga ada cuti seminggu. Bukan mudah untuk memujuk dua anak remaja ini untuk balik kampung. Ini kerana mereka sudah terbiasa berada jauh daripada sanak saudara dan menguruskan diri sendiri.

Namun begitu mereka perlu didedahkan kepada suasana keluarga besar, ada datuk dan nenek, bapa dan ibu saudara serta sepupu. Itulah kekurangan anak-anak semasa kecil. Ya berada diperantauan menjadikan mereka memiliki sifat yang berbeza daripada saya.

Saya mahu mendidik mereka agar menghargai keluarga besar mereka, menjaga hubungan silaturrahim dengan saudara- mara jauh dan dekat, namun suasana hari ini amat mencabar. Setiap orang sibuk dengan urusan masing-masing. Semoga Allah permudahkan urusan ini.

Ketika merancang untuk kembali ke Kuala Lumpur, tiba-tiba muncul idea untuk bercuti sekejap di Negeri Terengganu. Idea yang muncul tidak saya biarkan berlalu begitu saja. Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan dan kami bertiga sempat menghabiskan masa dua hari di Terengganu.

Perjalanan menaiki bas ekspress daripada Stesen Bas Perdana di Budi  mengambil masa agak lama kerana kami tiba di bandar Kuala Terengganu pada jam 1.30 tengahari. Kemudian kami menghadapi masalah untuk mencari homestay yang ditempah. Entah kenapa pemandu grab tidak dapat sampai ke destinasi dengan tepat.

Kami berpusing-pusing di bandar Kuala Terengganu dan hanya tiba selepas sejam mencari. Itulah ujian pertama kami. Setelah tiba dan berehat sebentar hujan turun dengan lebat menyebabkan kami terpaksa membatalkan rancangan untuk melawat kawasan sekitar pada petang hari.

Selepas hujan agak reda kami keluar ke kawasan terdekat, iaitu melawat Masjid terapung. Setelah berjalan-jalan ke pantai, kami mencari kedai makan. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami.

Selepas maghrib, adinda sekeluarga sampai ke homestay kami. Beliau dalam perjalanan balik kampung dari Kuala Lumpur. Ya, kami bertemu dipertengahan jalan, itulah ketetapan Allah swt.

Rancangan seterusnya terpaksa disambung pada hari kedua, iaitu melawat Jambatan Angkat, Masjid Kristal dan Taman Tamadun Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman