Kisah Surirumah

Alhamdulillah Jumaat lepas saya berkesempatan bertemu seorang kawan lama, seorang surirumah sepenuh masa. Beliau mempunyai 7 orang anak dan dua orang anak angkat.

Pertemuan yang tidak dirancang ini amat bermakna, maklumlah semasa sekolah dulu kami amat rapat, dia lah kawan yang mampu menghiburkan hati kawan-kawan lain. Memang suka buat lawak dan menghiburkan hati orang lain. Alhamdulillah beliau masih seperti dulu...

Saya amat mengkagumi beliau kerana ketaatan beliau kepada kedua ibubapa, sehingga sanggup berada dirumah walaupun beliau memang seorang wanita yang bijak.

Teringat kisah lama sewaktu kami mendapat keputusan peperiksaan SPM, kami mendapat keputusan yang tidak jauh bezanya, malah sama agregat. Tapi nasib kami berbeza...saya berjaya memasuki Pusat Matrikulasi UIA tapi beliau tidak dibenarkan oleh kedua ibubapa untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Jadi beliau meneruskan pengajian ke tingkatan 6, kemudian hasratnya untuk menyambung pelajaran dihalang lagi walaupun sudah mendapat tawaran ke universiti.

Itulah nasib beliau...tapi beliau bertuah kerana memiliki seorang suami yang amat memahami dan menerima beliau sepenuh hati. Alhamdulillah.

Bila bersembang je, beliau mengatakan kepada saya: "Rugi la mu berada di rumah selepas belajar tinggi-tinggi, aku tak kisah kerana aku memang tidak belajar tinggi". Akhirnya saya juga dapat merasai pengalaman seperti yang dihadapi olehnya terlebih dahulu tapi dalam perspektif yang berbeza.

Sebenarnya dalam dunia hari ini, orang amat memandang kelulusan seseorang, walaupun dia seorang wanita. Malah anak-anak juga mempunyai pandangan yang berbeza terhadap ibu mereka. Alhamdulillah anak-anak kawan saya ini memahami kedudukan ibu mereka, iaitu ketaatan yang tidak berbelah-bahagi kepada kedua ibubapa.

Setelah 20 tahun peristiwa itu berlalu, ia masih tidak dapat dilupakan oleh kami kerana itulah titik yang membezakan beliau daripada kawan-kawan yang lain. Walaupun tawa ria kelihatan diluar tapi hati kecil beliau juga berharap untuk memiliki sijil seperti kawan-kawan yang lain, kerana peristiwa lama itu tetap diungkit kembali.

Kini setelah kedua-dua ibubapa beliau telah tiada, beliau pula mengambilalih menjadi tempat tumpuan ahli keluarga yang lain. Mungkin betul tindakan kedua ibubapa beliau yang menyatakan bahawa wanita tidak perlu belajar tinggi-tinggi. Ini kerana beliau mampu menjadi rujukan saudara-mara yang lain walaupun tidak memiliki sijil yang tinggi. Malah beliau mampu memahami perasaan orang lain tanpa perlu berfalsafah. Moga Allah merahmati sahabat ku ini.









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman