Kawal Suami

Setakat mana seorang isteri boleh campurtangan dalam urusan hidup suami?

Ada suami yang rasa seronok apabila isteri mengambiltahu tentang urusan hidup mereka, kerana mereka merasa bahawa isteri menyayangi mereka serta ingin berkongsi segala-galanya dengan isteri mereka.

Ada pula suami yang tidak suka apabila isteri bertanyakan urusannya, kerana menyangka isteri ingin mengawal kehidupan mereka.

Ada pula yang memilih untuk berkongsi urusan-urusan serta cerita tertentu sahaja. Semuanya terpulang kepada personaliti suami serta kepandaian isteri memainkan peranan mereka.

Manakala isteri pula, ada isteri yang terlalu mengambilberat tentang suami hinggakan suami merasa rimas dengan mereka. 

Ada pula isteri yang terlalu mengongkong kehidupan suami hinggakan segala urusan suami dia yang mengawalnya. Si suami bagaikan pak turut tanpa berkata apa-apa.

Terasa kasihan apabila mendengar kisah ibubapa yang mana anak lelaki mereka dikawal oleh isteri, hinggakan nak berhubungpun begitu susah. 

Semenjak kahwin segala urusan suami dikawal oleh si isteri, termasuklah telefon bimbitpun didalam simpanan isteri. Setiap kali ibubapa ataupun adik beradik cuba menghubungi, mereka mestilah melalui tapisan isteri, hinggakan mereka tidak berpeluang bercakap dengan anak lelaki mereka. 

Si ibu berkata, beliau tidak ingin berfikiran negatif tentang anak dan menantu mereka, kerana takut si anak tergolong ke dalam golongan anak derhaka, begitulah sucinya hati seorang ibu. 

Tetapi adakah si isteri tersebut menyedari tindakan tersebut telah menyebabkan orang tua suaminya susah hati? Hinggakan si ibu berkata "jika begitulah sikapnya, kalau berlaku kematian sekalipun anak lelakinya tidak akan dapat dihubungi".

Apakah ini nasib yang mesti dihadapi oleh ibubapa yang begitu cekal dan tabah sepanjang kehidupan mereka membesarkan anak-anak walaupun hidup dalam kesusahan?

Peringatan buat diri dan surirumah, pastikan kita sentiasa memuhasabah diri setakat mana tindakan kita berkaitan suami dan keluarga beliau. Ingatlah tanggungjawab suami dengan ibubapa adalah lebih besar, janganlah kita menjadi penghalang dalam hubungan mereka.

Jika suami kita agak kurang mengambilberat tentang ibubapa beliau, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai isteri untuk menasihati beliau agar menghargai ibubapa sekiranya hayat mereka masih ada.

Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi isteri solehah, yang mampu menggembirakan suami serta sama-sama mendekatkan diri kepada Allah.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016