Ajar Anak Bersalam

Alhamdulillah...syukur kerana berkesempatan untuk berkongsi sesuatu disini. Moga ia menjadi peringatan buat diri dalam mendidik anak-anak.

Setiap anak mempunyai sikap tersendiri, kadang-kadang agak sukar untuk difahami, namun begitu ada adab-adab asas yang mesti kita terapkan dan bertegas mengenainya, kerana ia menunjukkan kecantikan agama kita.

Adab-adab asas ini mesti dipupuk oleh ibubapa, kerana ibubapa banyak menghabiskan masa dengan anak-anak.

Diantara adab-adab asas ini ialah adab bersalam dan memberi salam. Ia bukanlah suatu perkara sukar untuk dipraktikkan tetapi memerlukan nasihat yang berulang-ulang, agar ia melekat dan terukir dalam diri anak-anak kita.

Saya amat mengagumi sikap anak-anak orang Arab yang saya temui, kerana begitu mudah untuk bersalaman dan memberi salam.
Kadang-kadang terasa kekurangan diri dalam mendidik.

Dalam masa yang sama tertanya-tanya bagaimanakah cara mereka mendidik anak-anak, hinggakan anak-anak kecil begitu mudah untuk bersalaman bila bertemu dengan orang dewasa.

Saya masih teringat suasana ketika menghadiri jemputan majlis kesyukuran menyambut kelahiran disini. Saya tiba agak lewat dan tiada orang dewasa dihalaman, tetapi saya dikejutkan dengan sambutan kanak-kanak yang beratur untuk bersalaman. Kanak-kanak ini yang sibuk bermain, berhenti dengan sendiri untuk bersalaman dengan tetamu yang datang, tanpa arahan daripada orang dewasa.

Adat dan kebiasaan mereka juga kanak-kanak datang serta mencium pipi orang dewasa, malah mereka begitu gembira apabila disapa dan dipeluk. Alangkah bahagianya alam mereka.

Dalam masa yang sama, saya terkilan kerana adab-adab sebegini kurang diamalkan dalam masyarakat orang Melayu kini.

Sebenarnya apa yang diamalkan oleh orang-orang Arab tersebut adalah adab kita suatu masa dulu, kerana itulah adab Islam. Saya masih teringat ibu saya begitu menekankan adab bersalaman dengan tetamu, begitu juga rakan-rakan lain.

Apa yang nyata adab ini agak kurang dititikberatkan sehingga anak-anak kita cuma mahu bersalaman dengan insan tertentu sahaja. Mereka juga kurang selesa untuk berbicara dengan orang-orang dewasa. Apakah ini satu adab baru ataupun ia menunjukkan kelemahan kita dalam mendidik anak-anak.

Bagaimana kita ingin membentuk satu masyarakat yang bersatu hati, jika adab-adab asas ini diletak ke tepi.

Alangkah indahnya adab Islam yang digariskan oleh Rasulullah saw untuk kita amalkan, tetapi mampukah kita menghidupkannya? Meskipun ia nampak begitu kecil tetapi itulah titik mula dalam berukhwah.

Bermula dengan senyum, kemudian bersalaman
, perasaan kasih akan berputik dan berkembang , hati mula percaya hasilnya wujud ikatan ukhwah yang mantap.

Moga kita mampu mendidik anak-anak kita untuk mempraktikkan adab ini dimana sahaja kerana ia adalah sunnah. Berbanggalah untuk mengamalkannya tanda kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah saw.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016