Belajar Mengenal Diri

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah saya masih berpeluang mencatat disini. Hasrat hati ini ingin menjadikan blog ini sebagai tempat saya mengasah kembali bakat menulis. Moga beroleh kekuatan dan kesabaran untuk menunaikan hasrat ini.

Alhamdulillah minat ini kembali subur setelah melihat kesungguhan anak perempuan saya menyiapkan beberapa cerita pendek dalam bahasa Arab. Jika anak mampu melakukannya, apakah ibu masih mampu berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa? 

Alhamdulillah 'ala kulli hal...

Kembali kepada tajuk diatas "belajar mengenal diri", apa itu mengenal diri?

Bila diimbas kembali perjalanan hidup, begitu banyak kisah dan rentetan peristiwa yang kita lalui, ada yang manis, gembira sedih, kecewa serta pelbagai lagi situasi yang kita lalui sehari-hari. Apakah semuanya berlaku secara kebetulan ataupun ia adalah ketetapan Allah swt kepada kita?

Kadang-kadang kita terasa begitu gembira dengan kurniaan tanpa disangka-sangka yang kita perolehi. Seterusnya kita meyakini bahawa ia berlaku secara kebetulan, bukannya ketetapan yang telah diatur oleh Allah swt kepada kita. Apakah betul tanggapan tersebut?

Apakah kaitannya dengan mengenal diri? Saya cuma ingin mengingatkan diri ini bahawa untuk mengenal diri kita mestilah terlebih dahulu mengenal Allah, Pencipta kita. 

Bagaimana kita mampu mengenal yang Maha Pencipta jika kita tidak mampu berfikir berdasarkan ayat-ayat- Nya. Subhanallah begitu indah aturan Allah swt di alam ini. 

Jika kita menerima ketetapan ini, serta berusaha menambah ilmu berkaitan insya Allah kita mampu mencapai kebahagiaan yang kita kejar selama ini.

Lebih sepuluh tahun lalu, ketika saya begitu sibuk dengan tugasan menyiapkan tesis phd serta kesibukan menguruskan empat orang anak kecil serentak, saya merasakan bahawa beratnya ujian tersebut. 

Hari ini saya masih belum dapat memahami bagaimana saya mampu melakukan semuanya serentak. Tetapi itulah kurniaan Allah swt yang begitu besar, alhamdulillah. 

Ujian dan cubaan ketika itu berterusan hinggakan saat-saat viva adalah cubaan terbesar. Jika anda bertanya pelajar phd bagaimana mereka membuat persediaan untuk menempuh hari itu, tentulah anda akan dibekalkan dengan pelbagai tips dan persediaan untuk menghadapinya.

Semua itu tidak berlaku kepada saya, kerana ia datang secara tiba-tiba tanpa siapa menyedarinya. Apa yang saya tahu viva tersebut seolah-olah mimpi yang berlalu begitu pantas tanpa saya sempat berbuat apa-apa. Alhamdulillah kejayaan masih berpihak kepada saya.

Satu panggilan telefon pada waktu dhuha hari tersebut memberitahu saya agar datang ke bilik meeting Postgraduate Studies untuk menghadiri viva segera. Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik walaupun tanpa apa-apa persediaan awal. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Jika kita mengenal kekuatan dan kelemahan diri, insya Allah kita akan mampu menghadapi apa saja ujian yang datang. 

Mungkin ketika itu saya mampu menghadapinya kerana saya mempunyai impian yang jelas. 

Tiga bulan selepas ujian tersebut saya diuji lagi dengan keputusan suami secara tiba-tiba ingin berhijrah ke Oman, setelah mendapat tawaran mengajar di sana. Dalam tempoh seminggu beliau bertolak ke Oman. 

Kita merancang, Allah adalah Perancang Hakiki. Kami merancang untuk tinggal disini tidak melebihi tiga tahun, DIA tetapkan kami berada lebih lama, hampir memasuki sepuluh tahun disini. Alhamdulillah 'ala kulli hal.

Ujian demi ujian dilalui, masa berlalu begitu pantas, apa yang telah aku lakukan dalam hidupku? Itulah soalan yang berlegar-legar dalam fikiran semenjak berada disini. Apa yang dilakukan semuanya tidak menjadi seperti yang dirancang.

Apa yang pasti, saya tidak pernah mengimpikan kehidupan dalam fasa ini. Selama ini saya hanya merancang kehidupan berkerjaya ditanahair. Apa yang wujud dalam impian ialah mengajar, membentangkan kertaskerja, menghadiri kursus-kursus dan konferen sepertimana pensyarah lain.

Saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari saya akan tercampak disini, satu bumi yang belum pernah saya dengar namanya, apa ibu negara ini? Bagaimana keadaan masyarakat disini? Ah betapa jahilnya saya tentang bumi yang saya pijak sekarang. 

Semakin lama berada disini, hati semakin suka...alhamdulillah syukur atas kurniaan ini.

Semakin lama berada dirumah saya makin mengenal diri. Sebagai seorang yang dididik untuk menerima ketentuan Allah swt, saya mula menerima bahawa ada satu misi yang perlu saya lakukan disini. Allah tidak akan campakkan saya kesini sia-sia. Ada misi yang mesti dimulakan...Ada ilmu yang mesti dikongsi dengan masyarakat disini...

Alhamdulillah, akhirnya saya temui diri...sebagaimana dikenali rakan-rakan lama disekolah. Itulah diri ini. Moga Allah berikan kekuatan untuk saya hasilkan sesuatu disini. Aamiin.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?