Mengimbau Kembali -1

Alhamdulillah pada hari Sabtu 7/7/2018 saya berkesempatan untuk berkunjung ke Shah Alam, satu tempat yang menyimpan pelbagai memori dalam hidup saya.

Shah Alam merupakan tempat tinggal pertama saya sebagai perantau, di Jalan Liku 8/1 berdekatan Bukit Cerakah, nama yang dikenali ketika itu.

Saya masih ingat ketika pendaftaran pelajar Pusat Matrikulasi UIAM di Subang Jaya, selepas tu Inti College, saya dimaklumkan bahawa saya dan beberapa orang kawan sekolah ditempatkan di asrama Shah Alam, manakala ramai kawan ditempatkan di Asrama Zone H1 di Subang Jaya.

Alhamdulillah tahun itu, ramai pelajar MMP terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke Pusat Matrikulasi UIA kerana fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan baru dibuka. Kami merupakan kumpulan kedua pelajar yang diterima dalam jumlah yang lebih besar, setelah perintis 50 orang, pelajar kumpulan pertama, senior kami.

Alhamdulillah kami bertuah kerana Guru Kaunseling sekolah ketika itu berusaha keras membantu kami, anak kampung menjejaki kaki ke Pusat Pengajian Tinggi. Guru-guru tersebut mencari penaja pengangkutan kami ke Kuala Lumpur, dan mengiringi kami ke sana tanpa ibubapa.

Alhamdulillah kami bertuah kerana ditaja oleh Ekspress Nasional atau Transnasional sekarang, dengan dihantarkan terus ke Pusat Pendaftaran di Subang Jaya. Dan bermulalah episod kami berulang alik ke kampung menggunakan bas tersebut, kerana itu sahajalah bas ekspress yang kami tahu.

1989, tahun pertama saya keluar dari bumi kelahiran, menjadi pemastautin di Negeri Selangor Darul Ehsan. Melihat bandar Shah Alam hari ini mengingatkan saya tentang kesusahan hidup ketika itu, serta betapa pesat bandar itu membangun dan berkembang.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas