Cerita Masa Kecil

Alhamdulillah hari ini saya ingin kongsikan tentang kebiasaan saya dan apa yang berlaku.

Bila mengimbas kembali sikap dan personaliti saya sewaktu kecil, ia amat berbeza daripada saya sekarang.

Ya, saya anak yang sentiasa membuat sesuatu mengikut kehendak hati. Saya bebas berjalan ke mana-mana dan menziarahi sesiapa saja semasa kecil. Oleh sebab itu saya mengenali dan rapat dengan ramai orang.

Ketika darjah tiga Ayah membelikan basikal untuk kegunaan keluarga, dan saya mula belajar mengayuhnya.
Saya masih ingat kali pertama belajar saya terjatuh ke dalam parit disebelah taliair. Ketika itu saya tidak sempat membrek basikal, dikiri saya taliair dan sebelah kanan parit besar dan dalam. Saya terjatuh ke sebelah kanan, iaitu sebuah parit besar.

Ketika itu taliair tersebut hanya beberapa tahun dibina, begitu juga parit besar disebelahnya. Saya sempat melihat kejernihan air taliair yang dikawal untuk kegunaan menanam padi. Sayangnya hari ini taliair yang cantik itu tidak terjaga, dan dipenuhi tumbuhan air.

Basikal itu adalah basikal milik pelajar yang melanggar saya sehingga berdarah kepala ketika darjah dua. Saya masih ingat ketika itu kami balik dari sekolah selepas aktiviti sukan sebelah petang.

Kebetulan hari itu hujan dan saya berhenti di celorong air sebuah kedai ditepi jalan, tiba-tiba seorang pelajar lelaki yang sedang mengayuh basikal terlanggar kepala saya.

Saya yang seronok bermain tidak sedar sehinggalah seorang wanita memberitahu darah banyak dikepala saya. Kebetulan jiran sebelah rumah lalu berdekatan, jadi dia membawa saya ke klinik daerah berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Apa yang tidak disangka setahun selepas peristiwa itu, ayah membeli basikal tersebut daripada ayah pelajar yang melanggar saya. Basikal Raleigh yang amat kuat dan tahan lama.

Peristiwa itu sentiasa saya ingati biarpun sudah 40 tahun berlalu. Semakin besar saya semakin berani melakukan apa saja kehendak hati, tetapi masih dalam lingkungan disiplin keluarga.

Saya sudah berani mengayuh basikal ke rumah Nenek yang terletak beberapa kilometer dari kampung kami melintasi jalan utama dan jambatan Wakaf Stan. Pada mulanya saya pergi bersama-sama kakak, akhirnya saya berani pergi bersendirian.

Satu lagi kegemaran saya ialah memanjat pokok dan melihat pemandangan atap rumah disekeliling pokok tersebut. Pokok yang paling saya suka ialah pokok manggis yang tinggi didepan rumah kerana kedudukannya dikelilingi rumah.

Ketika itu saya akan panjat dan berdiam diri diatas pokok sambil memerhati orang yang lalu-lalang dibawah pokok itu. Bila musim buah saya rasa lebih seronok kerana dapat makan buah sambil berehat diatas pokok.

Disamping itu saya sentiasa menurut permintaan ibu untuk mengambilkan buah-buahan untuk dijual dikedai. Saya mula memanjat pelbagai jenis pokok buah-buahan disekeliling rumah termasuk pokok rambai, langsat, manggis, rambutan, mangga dan lain-lain lagi.

Oleh kerana saya bertubuh kecil maka lebih mudah bagi saya untuk memanjat dan menurunkan buah menggunakan bakul yang diikat dengan tali. Ketika itu saya begitu berani berpindah dari satu pokok ke pokok lain melalui dahan dan ranting.

Ketika itu memanjat pokok bagaikan terapi buat saya. Saya merasa hebat dan berani bila melakukan aktiviti itu. Rasa seronok bertambah bila melihat buah-buahan yang dikutip begitu banyak dan ibu menjualnya dipasar.

Ya, kehidupan masa kecil saya amat indah dan menarik untuk dikenang, meskipun ada bahagian pahit yang tak ingin saya ingati.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman