Sesekali Mengkritik

Entah kenapa tiba-tiba hari ini aku terlebih cakap. Banyak isu tiba-tiba terlepas dari mulut ini. Biarlah aku catat disini untuk peringatan buat diri agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Sebelum itu aku hanya bersembang dengan orang Arab, semuanya berkisar tentang makanan. Selepas rakan Arab mengundur diri kerana ada urusan lain, aku menyertai rakan-rakan senegara mendengar perbincangan beberapa isu.

Tiba-tiba tersentuh tentang sikap generasi sekarang di media sosial yang amat membimbangkan. Ya, aku sudah lama memendam perasaan tentang sikap orang melayu terhadap ilmuan, terutama yang memiliki ijazah PhD.

Maka terkeluarlah keluhan aku tentang perkara tersebut yang amat berbeza dengan apa yang aku dengar dan lihat berlaku kepada ilmuan negara lain.

Sesungguhnya aku melihat orang luar menghormati ilmuan mereka, tidak berani mengkritik serta memperbodoh-bodohkan para ilmuan terutama yang memiliki PhD. Ia amat berbeza daripada apa yang aku lalui selama ini, begitu juga apa yang aku terbaca di media sosial.

Semoga suatu hari aku juga mampu melihat orangramai menghormati para ilmuan dinegara sendiri. Ya, semoga akhlak umat Islam kembali elok dan mereka kembali menghormati orang yang lebih berilmu sebagaimana yang berlaku suatu masa dulu.

Kemudian kami bercerita tentang kelas-kelas agama dan bagaimana pemilihan guru untuk mengajar anak-anak disini. Tiba-tiba aku tercerita bahawa aku pernah meminta untuk melihat silibus yang diajarkan tetapi sehingga hari ini tiada siapa ingin berkongsi.

Ini kerana bagiku kita mestilah mengajarkan tentang agama secara berhikmah kepada anak-anak kecil agar mereka melihat betapa cantiknya Islam. Kita juga haruslah mengelakkan daripada terlalu banyak menceritakan tentang balasan dan azab kepada mereka. Biarkan anak-anak menzahirkan potensi diri mereka tanpa takut dan bimbang.

Ya, ketika anak-anak masih kecil kita isikan minda mereka dengan pengisian positif dan menarik agar mereka terpesona dengan kehidupan ini. Begitu juga apabila kita mengajar mereka mengaji quran, mudahkanlah mereka mengaji agar perasaan ingin terus mengaji quran subur dan mekar dalam hati mereka.

Mereka juga seperti kita, malah hati mereka lebih lembut. Jika mereka mendengar kata-kata pujian, mereka akan lebih bersemangat untuk melakukan lebih baik lagi. Akan tetapi jika kita terlalu berkeras, kita akan menjauhkan anak-anak kecil daripada kitab suci kita.

Inilah yang berlaku kepada generasi lama apabila mengaji quran. Ia seolah-olah kelas mendera, apabila anak-anak melakukan kesilapan kecil, guru quran akan menjerkah dan marah-marah, malah ramai yang merotan anak murid dengan harapan mereka lebih cepat pandai.

Tanggapan sebeginilah yang menyebabkan anak-anak itu tidak menghabiskan bacaan, dan jika khatam bacaan sekalipun ramai yang meninggalkan terus bacaan kerana fobia.

Al quran yang seharusnya menjadi terapi menjadi sebaliknya. Alquran yang seharusnya menjadi sumber ketenangan bertukar menjadi sumber ketakutan anak-anak.

Perbincangan seterusnya tentang mengapa suasana bercelaru dalam pengamalan agama ditanahair. Bagiku ia berlaku kerana kesilapan dalam memahami seruan kembali kepada alquran dan alsunnah. Ramai yang menganggap bila kembali kepada quran dan sunnah kita tidak perlukan lagi ilmu-ilmu lain, sedangkan kita masih memerlukan ilmu usulfiqh dan lain-lain untuk memahami alquran dan alsunnah.

Apakah kita terlalu hebat sehingga mampu memahami kedua-duanya tanpa berpandukan ilmu yang digunakan oleh ulama-ulama terdahulu? Kesilapan ini telah membawa kecelaruan dalam memahami dan mengamalkan agama ini.

Sekarang orang lebih nampak kesilapan kecil serta merendah-rendahkan orang lain, seolah-olah mereka terlalu sempurna dan memiliki ilmu yang banyak sedangkan mereka baru mula belajar.

Persoalan seterusnya ialah mengapa anak-anak yang menghafal quran juga turut berperangai negatif seperti merendah-rendahkan orang lain, memberi komen negatif dan pelbagai lagi. Sepatutnya mereka yang menghafal quran memiliki akhlak yang terbaik agar menjadi panduan kepada orang lain.

Bagiku, kesilapan ibubapa yang terlalu awal memisahkan diri dari mendidik anak-anak dengan cara menghantarkan anak-anak ke asrama adalah puncanya. Anak-anak itu terlepas bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan kerana berjauhan dari ibubapa. Dalam masa yang sama mereka kehilangan kasih sayang ibubapa kerana terpisah. Kekosongan kasih sayang ini memberi kesan negatif kepada diri anak-anak. Jadi untuk mengisi kekosongan ini mereka meremeh-remehkan usaha orang lain, mengkritik, berbohong dan pelbagai lagi sifat negatif.

Ya, aku masih teringat pesanan Mudirah sekolah anak-anak suatu ketika dulu " penuhilah kasih sayang dalam diri anak-anak, agar mereka tidak menagih kasih diluar, sama ada daripada guru-guru atau insan lain." Ini kerana anak-anak yang keinginan kasih sayangnya dipenuhi olah ibubapa tidak akan mencarinya diluar.

Ada lagi perbincangan lain yang tidak sempat diingati dan bercelaru. Semoga segala kesilapan cakap tidak membawa kepada persepsi negatif. Astagfirullah aladzim.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas