Musim Panas 2010

Alhamdulillah musim panas tahun ini di Oman tidaklah sepanas tahun lepas, inilah Rahmat Allah kepada kami sekeluarga yang terpaksa menghabiskan cuti sekolah tahun ini disini. Anak-anak masih belum mendapat paspot yang diperbaharui akhir April lepas.

Bermula dengan cyclone phet pada awal Jun, perubahan cuaca amat ketara disini. Jika sebelum itu bahang panas sentiasa ada tetapi selepas itu cuaca agak sejuk, malah air yang selalunya panas menggelegak pada waktu tengahari hanyalah sekadar suam alhamdulillah.

Teringat pula semasa Oman dilanda cyclone Gonu 2007, kami juga menghabiskan cuti musim panas disini dalam suasana cuaca yang tidak sepanas biasa.

Menurut suami yang menghabiskan cuti musim panas disini tahun lepas, cuaca kali ini teramat sejuk jika dibandingkan dengan tahun lepas. Jadi dapatlah kami keluar menghabiskan cuti diluar, bukan sekadar terkurung dirumah.

Namun begitu menghabiskan cuti tiga bulan lebih dalam suasana kawan-kawan senegara dan jiran-jiran semuanya pulang bercuti dinegara masing-masing tidaklah seindah mana. Ini kerana kurangnya teman untuk berbicara, kurang juga rumah untuk dikunjungi.

Anak-anak sudah menyebut perasaan 'bosan', walaupun pelbagai program yang kami lakukan bersama. Alasan mereka 'tiada kawan lain untuk main bersama-sama', walaupun setiap kali berkunjung ke mana-mana mereka begitu asyik bermain sesama mereka.

Bila melihat program yang dilakukan oleh anak-anak seharian, sepatutnya tiada istilah 'bosan' disebut-sebut. Ini kerana setiap hari ada saja aktiviti dan kerja-kerja tangan dilakukan, yang mana semuanya menunjukkan bahawa mereka begitu kreatif alhamdulillah.

Namun begitu tempat asal tetap menarik ingatan mereka, terutama pelbagai aktiviti mereka semasa dikampung pada tahun lepas. "Kita seronok dapat keluar bebas semasa dikampung, dapat masuk hutan (belukar), dapat jalan-jalan kat kampung, pergi kebun nenek dan banyak lagi, kita suka "mughamarat"..." itulah kata-kata mereka setiap masa.

Sememangnya anak-anak sukakan kebebasan, seperti juga saya sewaktu kecil dahulu...seronoknya hidup sebagai seorang anak kampung, walaupun hidup serba kekurangan tapi kaya dengan ketenangan alam semulajadi.

Jadi pada musim panas kali ini, kami kenalah redha, insya Allah ia memberikan kebaikan kepada kami sekeluarga, walaupun tidak dapat bercuti dan beraya dikampung lagi...


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman